Selebriti

Sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo) bantu perangi COVID-19 – Annuar

- Diterbit 11 Jun 2021 7:58 AM MYT

DALAM usaha untuk terus memerangi COVID-19, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memerlukan kira-kira 1,000 sukarelawan.

Menurut menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa, sukarelawan itu akan bernaung di bawah Sukarelawan Wilayah Prihatin atau Prihatin Volunteer (PriVo) yang dibentuk di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Beliau berkata, PriVo akan berperanan membantu menyelesaikan masalah pertindihan penyampaian bantuan, ketirisan, pembaziran, kerugian sumber dan kekurangan tenaga kerja.

“PriVo akan bertanggung jawab sebagai Pusat Koordinasi Gerakan Sukarelawan bagi menyelaras semua kegiatan kesukarelawanan di Wilayah Persekutuan seperti pengurusan program Vaksinasi Bergerak Covid-19, dan program Saringan Massa Covid-19 RTK-Ag.

“PriVo juga akan menyelaras program sanitasi di premis-premis awam, pengurusan gelandangan, pengumpulan dan pengagihan bantuan (food bank) dan pelbagai program kesukarelawanan yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan secara berperingkat,” katanya.

Annuar berkata, pentadbiran PriVo dikendalikan oleh YWP dan wakil pertubuhan bukan kerajaan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Angkatan Pertahanan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Sukarelawan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Katanya, PriVo mula digerakkan bagi program rintis saringan RTK-Ag Covid-19 di Perumahan Awam (PA) Sri Sabah, PA Sri Pulau Pinang dan PA Sri Kota serta program rintis Vaksinasi Bergerak Covid-19 di PPR Kampung Muhibbah.

Kepada mereka yang berminat untuk menyertai sukarelawan PriVo adalah dialu-alukan.

Penyertaan terbuka kepada semua warga Wilayah Persekutuan yang berusia 18 tahun ke atas dan permohonan boleh dibuat secara atas talian di pautan https://bit.ly/3pr77mA dan imbasan QR Code yang disediakan oleh YWP. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas