Selebriti

Pembelajaran Digital SPM secara percuma harus dimanfaatkan – Shiha Zikir

- Diterbit 10 Jun 2021 7:23 AM MYT

PLATFORM dalam talian dan pembelajaran secara digital dilihat sebagai cara penyelesaian terbaik untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam keadaan pandemik COVID-19.

Langkah ini sangat penting untuk memastikan calon SPM tidak ketinggalan dan mendapat cukup persediaan sebelum peperiksaan sebenar.

Dalam memastikan calon SPM sentiasa mengikuti pembelajaran di rumah, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) memperuntukkan RM200,000 bagi menyediakan platform dan akses kelas digital SPM Mahir tutor.

Platform ini akan memberi manfaat kepada 20,000 pelajar SPM di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menurut artis serba boleh, Shiha Zikir, 33, calon SPM harus bijak menggunakan gajet yang ada sebagai persediaan berhadapan peperiksaan itu kelak.

“Banyak perkara berubah akibat COVID-19. Kalau dulu telefon pintar dan gajet dilarang dibawa ke sekolah kerana dianggap boleh mengganggu proses pembelajaran di sekolah.

“Namun sekarang ia menjadi sangat penting buat pelajar untuk mengikuti pembelajaran secara digital di rumah.

“Saya puji usaha YWP yang sanggup mengeluarkan kos yang tinggi demi keberterusan pembelajaran para pelajar SPM.

“Dalam situasi sekarang, mungkin ramai pihak lebih memikirkan kelangsungan hidup semata-mata, namun YWP tidak pernah melupakan kelangsungan pembelajaran calon SPM.

“Ini kerana SPM adalah satu peperiksaan besar yang menentukan hala tuju hidup seseorang pada masa depan. Kalau tiada pihak yang cakna, bagaimanakah agaknya mereka hendak meneruskan pembelajaran,” ujar Shiha yang berharap peluang keemasan ini tidak disia-siakan oleh calon SPM.

Bagi Shiha, kelas digital SPM Mahir tutor ini secara tidak langsung turut mengurangkan tekanan ibu bapa yang memikirkan tahap pembelajaran anak-anak.

“Kepada semua calon SPM di kawasan Wilayah manfaatkanlah peluang ini demi mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan nanti.

“Situasi pandemik sekarang bukanlah halangan untuk anda berjaya dalam SPM. Gunakanlah kelebihan yang diberikan demi masa depan yang cerah.

“Dalam masa yang sama, ibu bapa tidaklah terlalu stres apabila kemudahan pembelajaran diberikan kepada anak-anak mereka,” ujar pelantun lagu AEWO itu lagi.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun, menjelaskan kelas digital merupakan ¬salah satu Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) 5.0 yang diwujudkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bermula 1 Jun 2021.

Berkenaan syarat-syarat bagi pelajar yang ingin menyertai kelas digital tersebut, Zaizalnizam berkata selagi mana mereka merupakan calon SPM tahun 2021 dan belajar di Wilayah Persekutuan maka secara automatiknya layak.

Katanya lagi, kelas tersebut merangkumi 10 subjek teras atau wajib lulus SPM iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam, Matematik, Sains, Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas