Berita

Sukan Para Asean dibatalkan, tumpu edisi ke 11 tahun depan

LATIF ROMLY merupakan antara atlet paralimpik yang bersinar.
- Diterbit 22 Jun 2020 9:43 AM MYT

PERSEKUTUAN Sukan Para ASEAN (APSF) secara rasminya membatalkan edisi ke-10 Sukan Para ASEAN 2020 melalui mesyuarat tergempar Lembaga Pengelola (BoG) APSF.

Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden APSF, Michael Barredo bersama 10 Jawatankuasa Paralimpik daripada kalangan 10 negara ASEAN meluluskan pembatalan tersebut selepas menerima surat pengesahan daripada Pesuruhjaya Sukan Filipina (PSC) yang bertarikh 8 Jun 2020.

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan menjelaskan keputusan berat tersebut diambil demi melindungi dan memastikan keselamatan atlet dan jurulatih serta tenaga kerja temasya itu terjaga selain menyokong usaha kerajaan setiap negara untuk membendung penularan Covid-19.

“Lembaga tertinggi APSF mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Filipina dan jawatankuasa penganjuran untuk semua usaha dan persiapan menjadi tuan rumah temasya APG 2020 termasuk penubuhan pasukan sekreteriat, dana, venue, logistik dan keperluan teknikal lain,” tulis kenyataan itu.

Memetik kenyataan tersebut, fokus APSF kini terarah kepada persiapan awal dan koordinasi kejayaan penganjuran edisi ke-11 Sukan Para ASEAN yang dijadualkan berlangsung di Hanoi pada Disember 2021.

“Ia merupakan kali kedua Vietnam diberikan hak sebagai tuan rumah temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu selepas kali terakhir 18 tahun lalu yang mana ketika menjadi tuan rumah pada 2003, Vietnam hanya mempertandingkan lima sukan.

“Sebagai persiapan awal dan langkah berjaga-jaga, pihak BoG APSF akan mengadakan mesyuarat pada Disember nanti bagi tujuan penyelerasan bersama Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN 2021 Vietnam dan semua pemegang taruh,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, selepas sekian lama tanpa sebarang aktiviti sukan susulan penularan Covid-19, semua atlet dan kontinjen dari setiap negara sudah tentu teruja dan tidak sabar untuk ke Sukan Para ASEAN 2021 Hanoi.

“Walaubagaimanapun, kita akan melihat perubahan ketara dari aspek Prosedur Operasi Standard (SOP), bagi temasya tersebut merangkumi perspektif penganjuran, perspektif atlet dan perspektif penonton,” katanya.

Dalam pada itu, MPM kini fokus bagi mempersiapkan atlet ke Sukan Para ASEAN 2021 dan akan bekerjasama dengan pihak Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan semua persatuan sukan Para kebangsaan demi mencapai keputusan yang lebih memberangsangkan berbanding temasya Kuala Lumpur 2017.

Sebagai rekod, Malaysia muncul negara terakhir yang menganjurkan Sukan Para ASEAN iaitu bagi edisi 2017 di Kuala Lumpur. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas