Berita

Bukan gelandangan, tapi Warrior Hijrah – Annuar

ANNUAR (tiga kiri) memberi kata-kata semangat kepada 'Warrior Hijrah' ketika melawat Drugs Intervention Community Malaysia di Sungai Soi, Kuantan, Pahang baru-baru ini. ANNUAR (tiga kiri) memberi kata-kata semangat kepada 'Warrior Hijrah' ketika melawat
- Diterbit 22 Jun 2020 3:08 AM MYT

“JANGAN pakai lagi perkataan gelandangan, jangan ada niat nak balik bergelandangan.”

Demikian kata-kata semangat yang dititipkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa kepada 44 gelandangan yang sedang menjalani rawatan di Drugs Intervention Community Malaysia di Sungai Soi, Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Annuar turut menggelarkan golongan tersebut sebagai ‘Warrior Hijrah’ kerana bersedia untuk melupakan pengalaman lalu dan berubah ke arah kebaikan.

“Kita mesti tidak mempunyai keazaman untuk duduk merata macam tak ada orang nak jaga kita.

“Dalam negara kita, tidak mahu lagi bergelandangan, mestilah ‘Warrior (pahlawan) Hijrah’ itu terbaik,” katanya disambut tepukan daripada peserta yang menjalani rawatan.

Annuar berkata, semua gelandangan terlibat secara sukarela menawarkan diri untuk menjalani rawatan mulai pertengahan bulan ini, untuk tempoh sehingga tiga bulan dengan kos dibiayai kementeriannya.

Proses pemulihan itu, menurut Annuar, ia perlu dilakukan sebelum mereka boleh mengubah kehidupan sama ada dengan mencari kerja atau mengikuti kelas kemahiran sebagai persediaan untuk kembali kepada masyarakat.

Terdahulu, Annuar hadir bagi meninjau keadaan gelandangan yang menjalani rawatan. Mereka ini diselematkan ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 terhadap golongan ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas