Berita

Lanjut bayar cukai tanah, petak

Warga kota nikmati tempoh lebih panjang, tiada denda lewat
|
- Diterbit 22 Jun 2020 11:48 AM MYT

MEMAHAMI situasi ekonomi semasa dan kedudukan kewangan semua pihak yang ter­kesan berikutan penularan ­wabak Covid-19, Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan selaku Pihak Berkuasa Negeri, telah melanjutkan tarikh akhir bayaran Cukai Tanah dan Cukai Petak bagi tahun 2020.

CHE ROSLAN

Menurut ­Pengarah ­Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Che Roslan Che Daud, pelanjutan tempoh bayaran selama 6 bulan, mulai 1 Jun sehingga 30 November 2020 dibuat tanpa dikenakan sebarang ­denda lewat.

Keputusan ­tersebut, katanya merupakan ­antara bukti keprihatinan pihak Kerajaan terhadap kesukaran yang sedang dihadapi oleh rakyat.
Beliau berkata, pelanjutan tarikh akhir bayaran kedua-dua cukai tersebut adalah terpakai dan berkuat kuasa ­serta-merta di seluruh Wilayah Persekutuan iaitu di ­Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Inisiatif prihatin ini akan dapat memberi manfaat kepada sejumlah 298,405 pembayar Cukai Tanah dan Cukai Petak dalam kalangan warga kota di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

“­Keputusan Kerajaan ­melanjutkan tarikh akhir bayaran Cukai Tanah dan Cukai Petak selama enam (6) bulan ini sudah pastinya memberi kelegaan kepada warga Wilayah Persekutuan.

“Khususnya mereka yang terkesan dari sudut ekonomi dan kewangan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai selaras Kanun Tanah Negara (KTN) 1965,” katanya dalam kenyataan kepada Wilayahku di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebarang pertanyaan mahupun maklumat ­lanjut ber­kenaan ­keputusan pelanjutan tempoh pembayaran cukai ­tersebut, orang ­ramai boleh menghubungi talian berikut.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas