Berita

Sukan e-sport berpotensi lahir atlet profesional

ANNUAR (belakang, tengah) bergambar bersama pemenang-pemenang Kejohanan e-sport PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG): Clan War Challenge secara dalam talian di Stadium Titiwangsa hari ini.
- Diterbit 25 Februari 2021 12:44 PM MYT

PENGANJURAN sukan e-sport mempunyai potensi besar bagi melahirkan atlet profesional khususnya di Wilayah Persekutuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, penganjuran kejohanan e-sports di bawah Cakna Sukan di bawah Inisiatif Wilayah Prihatin (IWP) merupakan sebagai usaha untuk mencungkil bakat baharu yang boleh mewakili Wilayah Persekutuan bagi penganjuran e-sports bertaraf antarabangsa.

“Ia dilaksanakan secara dalam talian di mana pemain boleh menyertai pertandingan tersebut dari rumah masing-masing.”

“Selain itu, ia turut menggalakkan rakyat supaya kekal berada di rumah dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada Wilayahku selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan e-sport PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG): Clan War

Challenge secara dalam talian di Stadium Titiwangsa hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Anwar Mohd Zain.

Menurut Annuar, beliau menaruh keyakinan bahawa orang ramai semakin terbuka terhadap e-sukan dan mendapat sambutan luar biasa.

“Permainan dalam talian ini bukan lagi sekadar satu hobi biasa, sebaliknya boleh dijadikan satu kerjaya profesional memandangkan ia berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan industri e-sports dan ekonomi sesebuah negara serta Wilayah Persekutuan, khususnya,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata DBKL turut berhasrat memperbanyakkan lagi penganjuran serta program-program latihan dan kejurulatihan e-sukan dengan mensasarkan kepada komuniti di Wilayah Persekutuan pada masa yang akan datang.

“Ia merupakan satu usaha untuk mendidik masyarakat bahawa sukan elektronik adalah sukan yang mempunyai potensi besar bagi melahirkan atlet profesional e-sukan dan berpeluang menjana pendapatan melalui bidang tersebut,”

“Pertandingan hari ini turut menawarkan hadiah lumayan dan difahamkan menarik penyertaan kira-kira 2,500 orang dan penyertaan daripada warga Putrajaya dan Labuan,” katanya. – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas