Berita

Annuar terima tawaran Presiden KL United

- Diterbit 25 Februari 2021 2:33 PM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa mengesahkan menerima jemputan dan tawaran sebagai Presiden Kelab Bola Sepak Kuala Lumpur United (KL United).

Katanya, beliau bersetuju menerima tawaran tersebut yang disertai beberapa syarat tawaran yang dipersetujui kelab tersebut.

“Pertamanya, saya tidak mahu terlibat dalam bentuk berkepentingan dan menjadi  pemegang saham.

“Yang kedua, lantikan itu tidak atas jawatan saya, tetapi atas peribadi dan saya sanggup buat secara sukarela dan tidak akan menerima apa-apa ganjaran,” katanya kepada Wilayahku selepas menyampaikan hadiah pada kejohanan PubG di Stadium Titiwangsa petang tadi.

Mengulas lanjut, Annuar mahu melihat satu corak pengurusan dan pengendalian pasukan yang profesional dan menjadi kelab yang mempunyai kedudukan yang baik dalam arena bola sepak tanah air.

“Buat permulaan ini, kelab ini mesti direka semula agar ia tampil sebagai kelab yang diurus secara profesional.

“Ia termasuklah untuk menjadi kelab yang berdaya maju dan mempunyai pelan pembangunan, model business dan pelan hubungan komuniti yang mesti dilakukan secara profesional.

“Saya juga akan memberikan pandangan dan idea supaya kelab  menjadi pasukan yang mempunyai reputasi yang bagus demi kemajuan sukan ini,” katanya. – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas