Janna Nick mohon maaf isu ‘Lisa Blackpig’, ambil tindakan ugutan bunuh

Janna Nick mohon maaf isu ‘Lisa Blackpig’, ambil tindakan ugutan bunuh

PELAKON, penyanyi yang kini bergelar pengarah Janna Nick memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak terasa hati dengan kapsyen ‘Lisa Blackpig’ yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi produksi miliknya, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Janna atau nama sebenarnya Nurul Hannah Muner,26, tetap mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pengguna media sosial yang memulakan provoksi apabila kembali berkongsi semula video lama yang mengaitkan dirinya dengan kematian anggota kumpulan SHINee, Jonghyun yang meninggal dunia pada 2018.

Tidak mahu isu ini berpanjangan, Janna menjelaskan hal tersebut menerusi sidang media khas yang dilangsungkan secara virtual hari ini.

“Apa yang boleh saya katakan mengenai isu video tular tersebut, kita telah ambil tindakan yang serius, masih dalam siasatan.

“Dan memang saya akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap individu yang telah memulakan provokasi dan memulakan fitnah terhadap saya.

“Untuk isu Lisa Blackpig, saya sebagai pengarah dan produser untuk telefilem Delen, mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf kepada semua yang terasa hati, terguris hati akan kapsyen tersebut,” katanya lagi.

Turut hadir sama pada sidang media itu ialah peguam yang mewakili Janna, Ben Syazmin dari Tetuan Tan Norizan & Associates yang antara lain turut memberi penjelasan terhadap isu tular serta fitnah yang dilempatkan, selain tindakan undang-undang yang bakal diambil pelakon terbabit.

Ben berkata, laporan polis sudah dibuat termasuk aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung perkara itu yang masih lagi dalam siasatan lanjut.

“Anak guam saya (Janna Nick) akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap individu yang menularkan semula video mendakwa dia mempersenda kematian seorang bintang K-Pop pada 2017 lalu.

“Sebelum ini, Janna juga sudah memberi penjelasan dan memohon maaf mengenainya, namun ditularkan semula di media sosial sehingga anak guam saya menerima pelbagai kecaman.

“Menerusi insiden berlaku ini, Janna menerima beberapa ugutan jenayah, ugutan bunuh, fitnah dan dakwaan palsu yang memerlukan tindakan serius diambil untuk keselamatan,” katanya.

Bagaimanapun, Janna dan peguamnya enggan mengulas lanjut kerana kes terbabit masih dalam proses siasatan.

Isnin lalu, Janna dalam kenyataannya menjelaskan sudah membuat laporan polis dan SKMM serta bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang melemparkan fitnah, ugutan dan komen keterlaluan terhadapnya.

Janna turut menafikan dia menggelar atau menyamakan Lisa BLACKPINK sebagai Lisa BLACKPIG.

“Berkenaan tohmahan yang kononnya saya menyamakan atau menggelar Lisa Manoban sebagai Lisa BLACKPIG adalah terpesong sama sekali.

“Sebagai seorang individu yang juga meminati budaya Korea Selatan dari segi industri hiburan, budaya, fesyen, makanan, teknologi, kecantikan dan pelancongan, tohmahan terhadap saya adalah sangat tidak berasas,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.

Selain itu, Janna menjelaskan dia tidak pernah sama sekali mempersenda kematian penyanyi Korea Selatan, Kim Jong-hyun pada 2017 sebagaimana yang didakwa. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS