Artikel

Utusan Melayu dalam sejarah KL

BANGUNAN ibu pejabat Utusan Melayu kini telah diletakkan di bawah syarikat
- Diterbit 26 Oktober 2019 8:35 AM MYT

Baru-baru ini 800 kakitangan Utusan Melayu (M) Bhd. diarah mengosongkan pejabat mereka apabila syarikat itu menghentikan operasi penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Syarikat itu bermula dengan nama Utusan Melayu Pte Ltd apabila ditubuhkan di Singapura pada tahun 1938 dengan berpejabat di Queen Street. Pengasasnya ialah Yusof Ishak dengan dana daripada saham yang dipegang oleh orang Melayu di pulau itu, dari pelbagai lapisan masyarakat, daripada guru ke penarik beca.

Yusof Ishak kemudian menjadi Presiden Pertama Republik Singapura apabila negeri itu berpisah dari Malaysia pada 9 Ogos 1965. Wajah beliau kini dipaparkan pada mata wang dolar Singapura.

Akhbar Utusan Melayu yang bertulisan jawi itu diterbitkan pada tahun 1939 dengan Rahim Kajai, Bapa Kewartawanan Melayu Moden sebagai Pengarang.

Pemberita-pemberita tetap dan sambilan dilantik di beberapa tempat di seluruh Semenanjung Tanah Melayu termasuk Kuala Lumpur.

Pada tahun 1946, ketika Kongres Melayu diadakan di Sulaiman Club Kampung Baru, pemberita Utusan Melayu turut membuat laporan yang mana beritanya disiarkan di muka depan.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada tahun 1948, syarikat Utusan Melayu pun menubuhkan pejabat cawangannya di Kuala Lumpur.

Maka menjelang kemerdekaan pada tahun 1957, ibu pejabat Utusan Melayu dipindahkan dari Singapura ke Kuala Lumpur.

Sebidang tanah di 46M, Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin diperoleh. Sebuah bangunan didirikan untuk pejabat dan kilang. Apabila berpindah ke Kuala Lumpur, ramailah wartawan dari Singapura yang berhijrah ke sini.

Pada tahun 1950-an Jalan Chan Sow Lin adalah kawasan “jin bertendang.” Lebih-lebih lagi Jalan Lima di mana kilang dan pejabat Utusan Melayu terletak berada di hujung Jalan Chan Sow Lin.

Ketika dibina bangunan Utusan di situ, tanah-tanah di sekitarnya merupakan kawasan belukar untuk operasi kilang-kilang dan perindustrian.

Jalan Chan Sow Lin dianggap sebagai kawasan Sungai Besi dengan pekan terdekatnya Salak South, pusat bagi urusan perdagangan bijih timah yang dikelilingi oleh lombong-lombong meliputi kawasan sehingga Cheras dan Seputeh.

Kebanyakan penerbit akhbar ketika itu seperti Straits Times mempunyai pejabat dan kilang di kawasan Pudu.

Bagaimanapun, syarikat akhbar The China Press turut mendirikan bangunannya di Jalan Lima, tidak jauh dari bangunan Utusan.

Pada tahun 1957, akhbar Utusan Melayu diketuai Said Zahari sebagai Pengarang. Beliau mengetuai mogok kakitangan Utusan Melayu pada tahun 1960 untuk membantah pengambilalihan akhbar itu oleh parti politik.

Ia adalah pemogokan pertama oleh pekerja-pekerja Melayu di negara ini. Ia menjadi bermakna kerana ia dilancarkan atas sebab memperjuangkan prinsip kebebasan akhbar dan bukan kerana menuntut kenaikan gaji. Mogok itu gagal, Said Zahari pun pulang ke Singapura.

Melan Abdullah kemudian mengambil alih sidang pengarang dengan jawatan Ketua Pengarang. Sebuah bangunan tambahan dibina, bersambung dengan bangunan lama. Bangunan itu dirasmikan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra.

Akhbar Utusan Melayu yang berslogankan ‘Penyambung Lidah Melayu’ aktif sebagai sumber maklumat bukan saja untuk Tanah Melayu yang merdeka tetapi juga bagi Kuala Lumpur sebagai ibu negara.

Pada tahun 1963, peranan akhbar Utusan Melayu menjadi lebih besar di Kuala Lumpur apabila bandar ini bukan saja menjadi ibu kota Tanah Melayu tetapi juga ibu negara Malaysia.

Peranan besar ini dirasakan perlu diperluaskan. Maka pada tahun 1967 diterbitkan akhbar Utusan Malaysia bertulisan rumi dengan slogan ‘Akhbar Kebangsaan Tulen’.

Mengikut konsep asalnya, kalau Utusan Melayu itu untuk orang Melayu maka Utusan Malaysia adalah untuk orang Malaysia tanpa mengira kaum.

Kalau Utusan Melayu itu adalah akhbar yang mula diterbitkan di Singapura, akhbar Utusan Malaysia adalah akhbar yang diterbitkan di Kuala Lumpur.

Peristiwa

Maka tidak hairanlah, Utusan Malaysia melaporkan peristiwa-peristiwa utama kota. Peristiwa 13 Mei 1969 dilaporkan di muka depan dengan para pemberitanya berada di tengah-tengah kota.

Begitu juga dengan banjir besar yang melanda Kuala lumpur pada tahun 1971 yang mana gambar menunjukkan Padang Kelab Selangor (Dataran Merdeka) yang ditenggelami disiar di muka depan. Pada hari itu, Utusan Malaysia hanya dapat diterbitkan empat muka surat.

Apabila Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai bandar raya pada tahun 1972, Utusan Malaysia juga meraikannya yang akhirnya pada sekitar tahun 1980- an, akhbar itu mempunyai sisipan Edisi Kota iaitu apabila Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan.

Utusan Malaysia sentiasa mempunyai hubungan baik dengan Kementerian Wilayah Persekutuan terutamanya dengan Datuk Bandar.

Lebih-lebih lagi ketika Tan Sri Elyas Omar menjadi Datuk Bandar dengan Utusan Malaysia sering memperoleh berita eksklusif mengenai Kuala Lumpur yang disiarkan di muka depan.

Antara laporan muka depan yang pernah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada tahun 1980-an ialah berita eksklusif mengenai rancangan untuk merobohkan rumah pangsa pertama Kuala Lumpur iaitu Sulaiman Court di Jalan Raja Laut bagi memberi laluan kepada stesen utama keretapi laju ringan (LRT).

Walaupun rancangan itu tidak jadi dilaksanakan tetapi di tapak itulah kemudian dibina pusat membeli-belah Sogo dan Stesen LRT Bandaraya.

Satu lagi laporan muka depan ialah berita eksklusif yang mana kerajaan hendak membangun kawasan gudang KTM belakang Bank Pertanian yang akhirnya menjadi Kompleks Dayabumi dan Pejabat Pos Besar.

Selain itu, isu-isu melibatkan ruang perniagaan orang Melayu di Kuala Lumpur juga menjadi tajuk muka depan, antaranya yang melibatkan kompleks Kota Raya.

Utusan Melayu kemudian membina bangunan baharu di Wangsa Maju tetapi kemudian dijual kepada sebuah agensi kerajaan.

Akhirnya Utusan Melayu membina kilang cetaknya di Bangi yang diberi nama Sri Utusan. Sementara banyak tahun kemudian, satu bangunan baharu berorientasi media konvergens yang bereka bentuk terkini dibina di Jalan Enam Off Jalan Chan Sow Lin depan bangunan lama. Dengan kerjasama DBKL, Jalan Enam itu dinamakan Jalan Utusan.

Bangunan baharu itu diduduki pada tahun 2013. Walaupun bangunan lama diduduki lebih 40 tahun, dalam masa enam tahun saja, Utusan Melayu terpaksa mengosongkan bangunan baharu itu dengan penerbitan Utusan Malaysia dihentikan.

Maka berlalulah satu era. Ada dua era dalam sejarah Utusan. Pertama, Utusan Melayu, dari 1938 hingga 1967. Kedua, apabila Utusan Malaysia menjadi akhbar utama menggantikan Utusan Melayu, dari tahun 1967 hingga 2019.

Apabila Utusan Malaysia diterbitkan semula kelak oleh syarikat lain, maka ia memasuki era berbeza, iaitu bermula tahun 2019. Semoga ia juga akan bermanfaat bagi Kuala Lumpur dan Malaysia.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas