Selebriti

Sufian Suhaimi bantu mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin

AIMAN Athirah (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Fuaziah Nordin yang mewakili kakaknya, Jahidah. Turut hadir, Sufian (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Babypian Legacy, Farah Sakinah Yusof.
- Diterbit 3 Februari 2023 11:35 PM MYT

WANITA yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga hingga koma, Jahidah Nordin masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia. Malah, video TikTok yang memaparkan anaknya, Eshan Nufail yang ingin bermain dengan ibunya yang masih kaku itu membuatkan ramai netizen sedih hingga menjadi tular.

Prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga itu, penyanyi terkenal Sufian Suhaimi menerusi syarikatnya BabyPian memberi sumbangan dengan nama Tabung Kasih, selaras dengan perlancaran produk terbarunya iaitu Kasih Pillow.

AIMAN Athirah (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Fuaziah Nordin yang mewakili kakaknya, Jahidah. Turut hadir, Sufian (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Babypian Legacy, Farah Sakinah Yusof.

Sumbangan ini disalurkan kepada anak mangsa bagi tujuan tabung pendidikan.

Sufian, 30, berkata, pendidikan merupakan perkara penting yang patut diberi keutamaan bagi ibu bapa diluar sana.

Inisiatif dibuat bukan sekadar sumbangan tetapi ianya lebih kepada ingin memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai keganasan rumah tangga, dan membantu para wanita (terutamanya golongan suri rumah) untuk bangkit dan mencari rezeki bersama platform BabyPian.

“Bila bercakap mengenai kekeluargaan, saya teringat satu kisah yang sangat dekat dengan saya iaitu kes Puan Jahidah. Sumbangan dibuat juga bagi membina kesedaran berkenaan isu keganasan rumah tangga, melindungi wanita dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan Tabung Kasih dan pelancaran produk Kasih Pillow di pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), baru-baru ini.

JAHIDAH Nordin kini masih koma.

Menurutnya, usaha yang dijalankan itu turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Majlis penyerahan sumbangan itu dihadiri Timbalan Menteri KPWKM, Aiman Athirah Sabu serta ahli keluarga Jahidah.

“Saya dan pasukan berbesar hati sebab KPWKM turut memberi sokongan terhadap projek ini. Secara asasnya, apa yang nak disampaikan adalah berkenaan projek Kasih Pillow, cerita disebaliknya, perkembangan Puan Jahidah dan kebangkitan wanita untuk berani membela diri sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, Sufian berkata adalah sangat penting bagi seseorang wanita untuk berdikari dan mempunyai sumber pendapatan sendiri. Produk BabyPian telah terbukti membantu pendidikan awal kanak kanak dan mendapat tempat pertama di hati ibu bapa di Malaysia.

Oleh itu, dengan pelancaran Kasih Pillow, BabyPian membuka peluang bagi mereka yang ingin menambah pendapatan dan mengubah nasib hidup.

Menariknya, Kasih Pillow dilengkapi dengan zikir, selawat dan lagu nasyid dari Kumpulan Inteam.

“Sebagai peminat Inteam dari sekolah rendah lagi, Inteam memang banyak bawa lagu yang bertemakan kasih. Disebabkan itu, kami namakan produk ini Kasih Pillow.

“Selain itu, kami masukkan beberapa lagu Inteam dalam bantal ini. Untuk mengangkat cerita kasih, babyPian mahu membawa tema kekeluargaan untuk projek kali ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas