WK2

BNM MAG pamer koleksi dinamik, program tarik pengunjung

||||||||||
- Diterbit 3 Februari 2023 9:19 AM MYT

SEBUT sahaja mengenai Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG), pastinya ‘Terowong Sejuta Ringgit’ antara yang dirasakan menarik kerana pernah tular di media sosial sebagai salah satu spot instagrammable.

Namun, tahukah anda terdapat tarikan lain lagi yang boleh diterokai ketika berada di BNM MAG dengan melawati enam galeri tetap dalam pelbagai tema yang dibawakan.

Terbahagi kepada dua sesi lawatan bermula pukul 10 pagi hingga 1 petang manakala sesi kedua pada pukul 2 petang sehingga 5 petang, tempahan awal melalui e-mel diperlukan bagi lawatan berkumpulan dan sambil belajar sekiranya jumlah peserta melebihi 20 orang.

Seni bina bangunan moden yang tersergam indah di Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur ini menawarkan pengalaman buat orang ramai yang ingin menelusuri perkembangan mata wang, sejarah ekonomi serta penubuhan Bank Negara Malaysia.

Seiring dengan peranan Bank Negara Malaysia sebagai penaung seni dan warisan Malaysia, Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) menampilkan koleksi seni dinamik dari Malaysia dan negaranegara ASEAN yang diperolehi sejak tahun 1960-an termasuk khazanah numismatik seusia sejarah negara.

Menurut Timbalan Pengarah BNM MAG, Alnizah Shamsudeen, muzium ini menawarkan sebanyak enam galeri utama serta satu galeri sementara yang akan membawa pengunjung menyelami sejarah ekonomi Malaysia, sistem kewangan serta sistem numismatik dan seni.

“Kita mempunyai pelbagai tema dalam setiap galeri yang dipamerkan dan antara tarikan utama yang sentiasa menjadi perhatian pengunjung adalah Galeri Kanak-Kanak di mana ia mempunyai sebuah ‘Terowong Sejuta Ringgit’ yang dihiasi dengan wang kertas pelbagai siri dan denominasi serta terdapat juga pengisian permainan interaktif berasaskan ‘Simpan, Belanja dan Berkongsi’ secara tidak langsung menjadi pusat pembelajaran kewangan tidak formal yang unik buat kanak-kanak.

“Selain galeri tersebut, BNM MAG ini juga turut mempunyai Galeri Ekonomi, Galeri Kewangan Islam dan Galeri Bank Negara Malaysia yang memaparkan pelbagai fungsi serta sumbangan bank negara.

“Terdapat Galeri Numismatik di mana pengunjung berpeluang menerokai ‘Denai Duit Syiling’ serta mempelajari sejarah awal mata wang dan akhir sekali Galeri Seni yang menghimpunkan kira-kira 70 hingga 80 koleksi seni dalam satu masa, menyorot pembangunan negara sekali gus menunjukkan sokongan BNM terhadap seni di Malaysia melalui karya seperti catan, cetakan dan arca.

“Bagi memberikan perkongsian yang lebih bermakna kepada orang ramai, BNM MAG meningkatkan pengalaman pengunjung dengan menawarkan pameran sementara yang berinovatif di mana tema pada kali ini adalah ‘Demi Tanah Air: 60 Tahun Sebagai Bank Pusat’ bermula 16 Disember 2019 sehingga Jun 2023,” kongsinya kepada Wilayahku.

Tambah beliau meskipun enam galeri utama merupakan galeri tetap namun bahan pameran akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan info yang dikongsi adalah kekal relevan kepada masyarakat luar.

Alnizah berkata selain galeri antara tarikan lain ialah tangga Nautilus yang bermula di lobi dan bersambung di setiap tingkat. Struktur yang menakjubkan ini merupakan ikon utama inspirasi grafik yang sentiasa digunakan dan disebarkan sebagai bahan komunikasi untuk BNM MAG.

“Sebagai elemen grafik, simbol berputar menggambarkan keinginan untuk meneroka pengetahuan tanpa titik. Reka bentuk gerakan seperti aliran air, melambangkan rasa ingin tahu dan sentiasa tertanya-tanya. Dalam satu perkataan, putaran ini menimbulkan rasa ingin tahu.

“Di BNM MAG, kita menawarkan beberapa program yang menarik untuk orang awam di mana bukan sahaja dapat mempelajari bahan baru malah bersuka-ria serta meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan. Antara program seterusnya adalah Bengkel Melukis dan Mewarna buat pelajar sekolah rendah pada awal Februari ini,” katanya BNM MAG telah menerima kira-kira 100 ribu
pengunjung sejak pembukaan semula pada Julai 2022 selepas pandemik COVID-19.

Berkongsi tentang penambahbaikan yang akan dilakukan bagi menarik lebih ramai pengunjung dari segenap lapisan umur dan golongan, Alniza berkata antaranya adalah BNM MAG akan mengadakan lebih banyak program dalaman dan luaran yang lebih bersasar serta menambah baik ruang galeri dan pelbagaikan lagi bahan pameran.

“Penambahbaikan berterusan sentiasa dilakukan bagi memastikan pengunjung tidak melihat pameran serta info yang sama ketika melawat di sini.

“Sempena pembukaan semula pada Julai 2022, kita telah membuka lebih kurang 10 ruang pameran baharu serta beberapa pameran maya yang telah dilancarkan pada tahun lalu seperti jenayah kewangan yang berkongsi mengenai modus operandi scammer dan sebagainya. Selain itu, pameran seni mengenai COVID-19 di mana hasil beberapa artis yang terpilih dipamerkan di ruang Galeri Seni,” tambahnya.

Terletak berhampiran dengan stesen LRT Bandaraya dan Komuter Bank Negara menjadikan ia lokasi mudah diakses oleh orang ramai termasuk pelancong luar negara.

Bagi mengetahui maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman sesawang www.museum.bnm.gov. my atau [email protected] serta ikuti di laman sosial @BNMMuseumandArtGallery. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas