Berita

Sub Zon 2 Labuan bertukar Zon Hijau, tiga kes aktif pulih

FARY menunjukkan kawasan Sub Zon 2 Labuan yang dikategorikan Zon Hijau selepas tiga kes berjaya pulih.
- Diterbit 18 April 2020 2:44 PM MYT

LABUAN – Sub Zon 2 Labuan yang terdiri daripada beberapa kampung dan kawasan perumahan diisytiharkan sebagai zon hijau Covid-19 setelah tiga kes aktifnya pulih sepenuhnya.

Perkampungan di Sub Zon 2 merangkumi Kampung Bebuloh, kawasan perumahan di Jalan Bukit Timbalai (Taman Mahkota Impian), Kampung Sungai Miri, Kampung Sungai Buton, Kampung Sungai Lada, Kampung Sungai Labu, Kampung Kilan / Pulau Akar, Kampung Layang- Layangan, Kampung Sungai Bedaun, Kampung Sungai Bangat, Kampung Belukot dan Kampung Bukit Kalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana WP Labuan, Dr. Fary Akmal Osman berkata, sub zon 1 dan sub zon 3 tetap sebagai zon kuning, kerana mereka masing-masing masih mempunyai satu dan tiga kes.

Sub Zon 1 berada di pusat bandar dan merangkumi perkampungan air di sekitarnya seperti Kampung Patau-Patau 1 dan 2, Kampung Gersik / Saguking, Kampung Batu Arang, Kampung Sungai Keling, Jalan OKK Abdullah, Jalan Tun Mustapha dan Kampung Rancha-Rancha.

Sub Zon 3 terdiri dari perkampungan perairan iaitu Kampung Bukit Kuda, Kampung Pantai, Kerupang/ Nagalang, Kampung Lajau, Kampung Tanjung Aru, Kampung Batu Manikar, Kampung Ganggarak / Merinding, Kampung Lubok Temiang dan Kampung Pohon Batu.

Fary berkata, Labuan telah mencatatkan 16 kes aktif terkumpul dengan 12 pesakit dibenarkan pulang sejak 10 April.

“Jumlah pesakit yang dikuarantin di rumah, hotel dan pusat kuarantin telah menurun dengan ketara dari iaitu dari sekitar 2.000 kepada 735.

“ Di pusat kuarantin Institut Latihan Industri (ILP) Labuan menempatkan 66 orang terdiri daripada 57 lelaki dan sembilan wanita dan di Pusat Giat Mara terdapat 67 orang terdiri daripada 42 lelaki dan 25 perempuan,” katanya dalam sidang akbar di Wisma Perbadanan Labuan hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas