Berita

JAWI tampil bantu golongan OKU, autisme

ZULKIFLI menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju hari ini. Turut kelihatan Mohd. Ajib (kanan).
- Diterbit 18 April 2020 2:19 PM MYT

KUALA LUMPUR –  Golongan orang kurang upaya (OKU) yang turut menerima kesan daripada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat perhatian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) melalui gabungan masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan.

Melalui sumbangan Musa’adah Covid-19, seramai 30 OKU di sekitar ibu kota menerima bantuan dalam meringankan beban mereka.

Penyampaian bantuan itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Muhamad Al-Bakri.

Pengarah JAWI, Mohd. Ajib Ismail berkata, golongan OKU melibatkan mereka  yang hilang penglihatan, cacat pendengaran, kurang upaya kekal dan autism.

“Bantuan ini terbuka kepada semua kaum dan agama kerana ketika dalam keadaan sukar ini semua orang menerima nasib yang sama,” katanya kepada Wilayahku di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju di sini hari ini.

Mohd. Ajib berkata, pihaknya menerima sumbangan daripada JAWI Zon 4 dengan kerjasama beberapa rakan strategik iaitu Syarikat Ramly Burger, JAWIFoodbank dan pihak Masjid Usamah Bin Zaid.

“Antara sumbangan tersebut adalah barangan keperluan harian bernilai RM50 seperti beras, tepung, gula, susu pekat, telur, kicap dan sebagainya serta wang tunai RM50.

“Senarai penerima adalah daripada data Pengerusi Surau dan Pengerusi Persatuan Penduduk.

“Sumbangan itu diserahkan menggunakan kaedah pandu lalu dan serahan di kerusi roda masing-masing,” katanya.

ANTARA penerima bantuan Musa’adah Covid-19 di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju hari ini..

Dalam pada itu, Mohd. Ajib memberitahu, semenjak bermula PKP pada 18 Mac lalu, JAWIFoodbank turut mengagihkan bantuan makanan bermasak kira-kira 50 pek setiap hari kepada komuniti OKU penglihatan dan ahli keluarga di Flat Sri Pahang.

“Inisiatif ini adalah atas sifat keperihatinan dan kemanusiaan bagi meringankan golongan terkesan termasuk kumpulan minoriti golongan ini tanpa mengira kaum dan agama,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas