Berita

PL agihkan 66,530 topeng muka kepada warga Labuan

FARY (dua dari kiri) menerima sumbangan topeng muka dan hand sanitizer daripada Datuk Wong Kii Yee, wakil Dewan Perniagaan Tionghua Labuan di Perbadanan Labuan hari ini.
- Diterbit 18 April 2020 2:53 PM MYT

LABUAN – Sebanyak 66,530 topeng muka diagihkan kepada warga Labuan oleh Perbadanan Labuan (PL) melalui Jawatankuasa Pusat Kawalan Operasi  Bencana (PKOB) secara berperingkat.

Difahamkan, setiap isi rumah di pulau ini akan menerima lima topeng muka.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Wilayah Persekutuan (WP) Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata, daripada sejumlah 104,000 topeng muka yang telah disalurkan oleh kerajaan, 66,530 keping telah diagihkan kepada warga pulau ini.

“ Baki jumlah topeng muka akan diagihkan dengan segera mengikut lokasi. Kawasan yang telah menerima bekalan topeng muka ialah Kampung Patau-Patau, Rancha-Rancha, Bukit Kuda, Sungai Labu, Pohon Batu, Lubuk Temiang, Sungai Miri dan Taman Perumahan Mutiara Sungai Bedaun,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan, Nurzalizah Kartika Abdullah.

Terdahulu Jawatankuasa Bencana WP Labuan telah menerima sumbangan 20,000 keping topeng muka dan 10 kotak pencuci tangan daripada pihak Dewan Perniagaan Tionghua dan Lunmas Sdn. Bhd. untuk dihulurkan kepada petugas barisan hadapan di pulau ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas