Sekilas

Suami dibuang kerja… “Isteri jangan cepat menuduh, dengarlah luahan” – Hasniza

mengadulah kepada Allah" - Hasniza
- Diterbit 1 Mei 2021 7:47 AM MYT

BERATUS ribu individu kehilangan pekerjaan sejak negara dilanda pandemik COVID-19. Disebabkan krisis ini juga terdapat rumah tangga yang goyah disebabkan suami kehilangan punca pendapatan.

Bagi ahli perniagaan berjaya yang juga Pengarah Eksekutif Ana Global Venture (AGV), Hasniza Hassan, isteri memainkan peranan penting dalam memastikan keadaan keluarga tetap dalam keadaan baik.

“Saya tahu ada para isteri yang berhadapan dengan situasi suami dibuang kerja kerana pandemik COVID-19. Sebagai isteri, kita juga kena jadi kawan baik kepada suami. Kadang-kadang lelaki ni tak meluahkan apa yang terbuku di hati.

“Jadi cari waktu yang sesuai untuk bercakap dengannya. Tengok apa yang kita boleh tolong. Cuma cara bercakap itu janganlah nampak seperti kita menuduh atau anggap suami kita itu saja-saja tak mahu bekerja.

“Jadilah pendengar yang baik. Jadilah seorang kawan baik kepada suami yang boleh mendengar apa sahaja luahannya dengan tenang,” katanya kepada Wilayahku.

HASNIZA berharap para pembaca yang bergelar isteri sentiasa memainkan peranan penting dalam membahagiakan keluarga.

Hasniza juga berpendapat, isteri mempunyai peranan besar agar suami kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupan.

“Dalam masa yang sama, sebagai isteri , fikir bagaimana mahu menguruskan kewangan keluarga dalam keadaan sukar sekarang.

“Mungkin kita boleh kurangkan belanja kepada sesuatu yang tidak diperlukan. Kena bincang baik-baik.

“Selain itu, kalau ada peluang yang sesuai, kenapa tidak kita tambahkan pendapatan keluarga dan bantu suami.

“Sekarang pun banyak yang kita boleh lakukan dari rumah untuk berniaga secara atas talian. Cubalah! Dari sekecil-kecil perniagaan boleh jadi besar. Insya Allah,” katanya lagi.

Semua orang mempunyai dugaan. Apa yang membezakan antara kita semua adalah cara mengatasi masalah itu sendiri.

“Pertama kita kena tahu apa masalah yang ada. Sebenarnya apabila kita berasa sedih atau kecewa, itu adalah normal. Jangan kita rasa diri ini dalam tahap yang teruk, kerana situasi itu itu adalah normal.

“Jadi untuk bangkit balik apa yang penting adalah mind set kita. Kita perlu tahu takkan ada sesiapa yang boleh mengubah kita melainkan kita sendiri yang mahu berubah.

“Kita boleh tengok orang-orang yang telah berjaya dan apa yang mereka telah atasi. Kita belajar daripada itu. Mungkin juga boleh cari atau baca kisah orang berjaya, lihat bagaimana mereka mengatasi masalah yang dihadapi.

“Sebagai wanita kita sebenarnya mempunyai peranan yang besar. Sebagai isteri dan ibu kita kena Jadi kuat kerana kebahagiaan keluarga banyak bergantung kepada emosi kita.

“Kalau kita nak keluarga kita tenang dalam situasi yang sukar, kita yang kena tenang dahulu,” jelas Hasniza yang menyeru agar para wanita lakukan sesuatu yang boleh meningkatkan motivasi diri dan sentiasa mendebarkan diri kepada Allah.

“APABILA hati rasa sedih dan bimbang, mengadulah kepada Allah” – Hasniza

“Dalam masa yang sama kita kena belajar untuk sayang diri sendiri iaitu cari apa yang boleh membuatkan kita ada motivasi diri.

“Misalnya kita masak untuk keluarga bukan kerana terpaksa tetapi kerana kita mahu berikan sesuatu kepada orang lain.

“Melalui masakan itu mungkin kita boleh jual untuk dapatkan pendapatan dan secara tak langsung membantu suami.

“Kita kena banyak dekatkan diri kepada Allah. Apa pun yang berlaku kita kena berpaut kepada Allah. Allah boleh memegang hari-hari manusia termasuk kita. Apabila hati rasa bimbang, tidak tenang atau sedih, mengadulah kepada Allah.

“Rajinlah solat tahajjud, beristighfar dan bersedekah. Bersedekah ini akan menghilangkan rasa takut yang ada dalam diri dan berasa lebih tenang.

“Apabila tenang, kita boleh berfikir dengan lebih baik apa yang bagus untuk diri kita dan keluarga,” tambahnya lagi.

Semoga kejayaan Hasniza dalam perniagaan produk halal dan berkualiti sentiasa menjadi inspirasi kepada para wanita lain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas