WK2

Prihatin Ramadan santuni rakyat di bulan mulia

ANNUAR menyampaikan sumbangan kepada yang memerlukan.
- Diterbit 8 Mei 2021 2:00 AM MYT

KEDATANGAN bulan Ramadan saban tahun disambut penuh harapan pelbagai lapisan masyarakat lebih-lebih lagi golongan asnaf yang bermastautin dalam kawasan bandar.

Gagasan Wilayah Persekutuan, Wilayah Prihatin hasil cetusan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa bertujuan membantu semua pihak dalam Wilayah Persekutuan tanpa ada yang ketinggalan menjadi kerangka besar penganjuran program Prihatin Ramadan pada tahun ini.

Meskipun negara masih lagi ‘berperang’ dalam melawan wabak pandemik COVID-19, penganjuran Program Prihatin Ramadan tetap diteruskan dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan ia mendapat sentuhan langsung daripada Annuar melalui ucapan beliau di dua program, bersama golongan asnaf, jawatankuasa masjid dan surau jumaat serta Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Putrajaya pada Isnin dan bersama pengamal media di ibu kota pada Selasa.

Menurut Annuar, konsep Prihatin Ramadan menekankan konsep keprihatinan terhadap warga Wilayah Persekutuan yang menerima kesan langsung apabila wabak berkenaan mulai melanda negara sehingga kerajaan terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu sehingga menyebabkan banyak peniaga kecil terpaksa berhadapan dengan kemerosotan perniagaan selain telah meningkatkan jurang kemiskinan bandar di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

ANNUAR (kanan) beramah mesra dengan pelajar maahad tahfiz.

Katanya lagi, konsep yang sama, pihaknya telah melancarkan program MYBeras@Wilayah dan ia telah mengedarkan ribuan kampit beras dan juga bantuan lain yang tidak putusputus selagi mana terdaya dan termampu kepada semua penduduk terutama yang menduduki di Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta mana-mana individu yang terjejas ekoran
wabak tersebut.

Program Prihatin Ramadan dilakukan bagi meringankan beban perbelanjaan golongan yang kurang berkemampuan, mengimarahkan amalan bersedekah di bulan Ramadan dengan pemberian
sumbangan golongan yang memerlukan dan membina persepsi serta kesedaran kepada masyarakat untuk lebih cakna dan prihatin dalam terus membantu golongan ini agar dapat merasai kemeriahan dalam persiapan menyambut Aidilfitri.

Menurut Annuar, secara keseluruhan KWP memperuntukkan sebanyak RM 300,000 yang boleh dimanfaatkan oleh 2,000 penerima sumbangan di Wilayah Persekutuan.

“Pecahan kepada peruntukan di Kuala Lumpur adalah seramai 1,100 melibatkan RM165,000, Putrajaya 400 penerima melibatkan RM60,000 dan Labuan 500 orang penerima melibatkan RM75,000.

“Setiap penerima akan menerima RM150 serta bakul makanan bernilai RM50 yang disumbangkan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berjumlah RM100,000,” katanya.

Menurut Annuar, Kumpulan Media Prima Berhad telah menjadi rakan strategik dalam penganjuran program Prihatin Ramadan pada tahun ini.

“Melalui sumbangan orang ramai kepada Tabung Kemanusian Media Prima NSTP, mereka telah memberikan sumbangan RM150.00 sebagai tambahan kepada setiap penerima yang juga akan dimanfaatkan oleh 2,000 penerima di Wilayah Persekutuan dan menjadikan setiap penerima menerima RM300 seorang,” katanya.

Sempena sambutan 25 tahun Putrajaya, Annuar turut mengedarkan Al-Quran Mushaf Putrajaya kepada wakil-wakil Masjid dan Surau Jumaat untuk dimanfaatkan di masjid dan surau masing-masing dengan kerjasama Nashrul Quran di bawah pimpinan Datuk Abdul Latif Mirasa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas