Utama

Struktur haram, 13 gerai warga asing diroboh

JENTOLAK digunakan untuk meroboh gerai-gerai haram yang dibina di siar kaki Jalan Palong, Taman Miharja pagi tadi.
- Diterbit 5 Februari 2020 8:13 AM MYT

BANDAR TUN RAZAK – Struktur haram tetapi mempunyai empat sambungan bekalan elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan sumber air.

Difahamkan, peniaga yang terdiri daripada warga asing itu mendapatkan bekalan air daripada rumah-rumah yang dipercayai disewa mereka di Taman Miharja di sini.

Malah, 13 kedai yang dibina secara haram di atas siar kaki Jalan Palong, Taman Miharja di sini sejak beberapa tahun lalu itu juga melindungi paip utama ke tapak perumahan.

Ekoran pembinaan struktur haram itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini, melaksanakan operasi khas perobohan yang bermula pukul 10 pagi tadi.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, semasa operasi dijalankan, pihaknya meroboh 13 struktur tanpa kebenaran yang dikendalikan warga asing di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Enam struktur bersaiz besar diroboh hari ini dan bakinya tujuh lagi dipotong bekalan elektrik.

“Operasi perobohan seterusnya akan dilakukan esok disebabkan struktur bersambung dengan kedai bersebelahan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja (JPPP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, penduduk setempat, Yaakub Abu menzahirkan rasa lega selepas struktur haram tersebut diroboh pihak berkuasa hari ini.

Ini kerana, katanya, sejak 2 tahun lalu, semakin ramai warga asing yang monopoli Flat Taman Miharja sebagai penyewa utama unit dan kemudian menyewakan bilik kepada orang lain.

“Mereka juga menyewa lot kedai di bahu jalan yang dibina warga tempatan yang majoriti adalah penduduk setempat,” katanya kepada Wilayahku pagi tadi.

Dalam pada itu, Yaakub turut menyatakan rasa kesal kerana individu yang membina, memiliki atau menyewakan struktur seperti itu adalah orang kuat di dalam politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – WILAYAHKU

METER elektrik yang dipasang di struktur haram di Jalan Palong, Taman Miharja dipotong dalam operasi khas DBKL hari ini.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas