Berita

Misbun Sidek mahu yang keempat

MISBUN
MISBUN (dua dari kiri) bersalaman dengan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria (dua dari kanan) sejurus pelantikan beliau sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan BAM.
- Diterbit 5 Februari 2020 6:31 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek yakin mampu melahirkan seorang lagi anak didik bergelar pemain badminton nombor satu dunia.

“Saya sudah ada tiga pemain yang pernah menjadi pemain nombor satu dunia dan tidak salah kalau saya cari yang keempat, itu cita-cita saya sampai bila-bila,” ujar beliau.

Malah lagenda badminton negara itu berbesar hati menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan BAM berkuatkuasa semalam dengan kontrak selama dua tahun.

Kata Misbun, beliau sedang merangka perancangan terbaik bagi 66 pelatih yang kini berada di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini.

“Apabila menerima tawaran jawatan ini, saya mempunyai hala tuju, terutamanya selepas melihat pemain-pemain gagal menyerlah pada tahun lalu bermula dengan Kejohanan Remaja Dunia. Jadi bagi saya, ia satu iktibar bahawa mungkin ini masanya saya membantu program remaja ini,” ujar beliau.

Tempoh satu hingga dua bulan diperlukan Misbun untuk memantau pemain, teknik jurulatih dan struktur pembangunan remaja secara keseluruhannya sebelum struktur baharu diwujudkan sekali gus membentuk landasan yang baik supaya dapat menyerap pemain terbabit ke pasukan senior dan pelapis.

“Sudah pasti saya akan cuba bergabung dengan jurulatih di peringkat remaja agar dapat mempertingkatkan prestasi. Apabila saya mula bertugas, fokus saya adalah ke arah Indeks Prestasi Utama BAM iaitu Kejohanan Remaja Asia, Dunia dan pertandingan bawah 15 tahun,” katanya.

Antara pemain terbaik Malaysia yang pernah menerajui kedudukan terbaik dunia di bawah bimbingan beliau adalah Datuk Lee Chong Wei, Roslin Hashim selain adik beliau sendiri, Rashid Sidek. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas