Berita

Jangan percaya perubahan kerajaan akan berlaku – Amanah

KHALID SAMAD
KHALID
- Diterbit 6 Februari 2020 12:34 AM MYT

PUTRAJAYA – Pemimpin dan pendokong Pakatan Harapan (PH) diminta jangan percaya dengan khabar angin kononnya akan berlaku perubahan kerajaan kepada Pakatan Nasional.

“Dah lama dah kita dengar cerita ini. Dalam masa yang sama PH dah lebih dua tahun memerintah,” kata Khalid Samad, Pengarah Komunikasi Amanah.

Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, beliau penuh yakin kerajaan PH yang ada ini akan kekal dan bertambah baik.

Khalid berkata demikian ketika mengulas berita angin kononnya Majlis Tertinggi Umno akan bermesyuarat esok bagi memutuskan pembentukan gabungan baru yang dinamakan Pakatan Nasional.

Ia adalah gabungan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang bakal mengabungkan Umno dan BN serta Bersatu, Pas, kumpulan penyokong Azmin Ali dalam PKR dan parti dari Sabah dan Sarawak.

Mereka juga menunjukkan kononnya mempunyai bilangan yang cukup untuk memerintah negara.

PERISTIWA 1998, 2004

Dalam temubual secara langsung yang dibuat Khalid dengan laman internet TV Jom Chanel malam tadi, Khalid berkata, ada dua perkara yang patut menjadi panduan pemimpin dan penyokong PH.

“Pertama, pastikan peristiwa 1998 ketika Tun bergaduh dengan Anwar tidak berulang. Ini kerana kedua-dua pihak luka kerananya.

“Kedua, pastikan peristiwa 2004 apabila Tun serahkan pucuk pimpinan negara kepada Abdullah Badawi. Pak Lah telah buang dan tinggalkan semua apa yang Tun rancang.

“Pastikan kedua-dua ini tidak berlaku agar peralihan pucuk pimpinan berlaku dengan baik dan sempurna,” kata Khalid dalam sessi temubual mingguan beliau itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas