PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan Pelan Ekonomi Madani baru-baru ini bukan ‘gula-gula’ politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti yang didakwa beberapa pihak.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Alsagoff berpandangan, ia merupakan strategi kerajaan untuk memperkasa ekonomi rakyat di mana pengumuman tersebut ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia.
“Pengumuman itu dibuat kebetulan berkaitan musim PRN, bagi saya itu tak salah kerana strategi kerajaan memang dah dirancang dan bersedia untuk dilaksanakan selepas pengumuman tersebut.
“Ini juga masa yang sesuai diumumkan pada rakyat kerana ia bukan sahaja melibatkan enam buah negeri yang terlibat dalam PRN tetapi seluruh Malaysia akan menerima manfaat inisiatif berkenaan,” ujar beliau ketika dihubungi Wilayahku.
Tambah beliau, rakyat harus bersikap optimis terhadap pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri kerana ia merupakan cara bagaimana kerajaan menyelesaikan masalah rakyat.
“Jika ada yang tidak berpuas hati terhadap pengumuman yang dibuat, mereka bebas untuk buat sanggahan dan aduan berkaitan hal tersebut.
“Jadi saya fikir bahawa inisiatif ekonomi tersebut tidak dianggap gula-gula kerana ia dapat menjana ekonomi dan meningkatkan kualiti sara hidup rakyat pada masa yang sesuai iaitu sekarang.
“Tiada masalah pun umum bila kerana rakyat boleh menilai inisiatif yang dibuat dengan bijak,” ujar beliau menjelaskan inisiatif Ekonomi Madani adalah penambahbaikan pada Belanjawan 2023.
“Ini merupakan masa yang paling tepat untuk diumumkan kerana pada hujung tahun ini akan ada pembentangan bajet, jadi sebelum itu baik buat penambahbaikan pada bajet yang telah diumumkan sebelum ini,” ujar beliau apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk mengatasi masalah ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat. -WILAYAHKU