Berita

Konvensyen Mualaf Wilayah Persekutuan himpun 650 saudara baru

SEBAHAGIAN peserta Konvensyen Mualaf Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
- Diterbit 4 Ogos 2023 2:00 AM MYT

KIRA-KIRA 650 mualaf ­berhimpun di Konvensyen Mualaf Wilayah Persekutuan yang diadakan di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Isnin.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berkata program tersebut merupakan ijtima’ tahunan saudara baharu bagi membincangkan pelbagai isu ke arah ­memperkasakan pengurusan mualaf di Wilayah Persekutuan.

Antara pengisian utama adalah Bicara Tokoh Mualaf serta seminar yang mengupas topik Hala Tuju Peningkatan Kendiri Kesatuan Mualaf di Wilayah Persekutuan.

MOHD FARID RAVI

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Mualaf Wilayah Persekutuan, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berharap Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperluaskan kepada mualaf serta ­usaha merubah status mualaf kepada mukalaf dijayakan melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh JAWI dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Saya berharap Program TVET ­diperluaskan ­kepada mualaf serta usaha merubah status mualaf ­kepada ­mukalaf ­dijayakan melalui pelbagai inisiatif yang ­dilaksanakan oleh JAWI dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” tulisnya dalam satu hantaran di media sosial rasmi JAWI.

Tambahnya, bagi ­memantapkan pengurusan mualaf di Wilayah Persekutuan, program perlindungan sementara serta pusat ­bimbingan dan pendidikan mualaf telah ­dilaksanakan di Kompleks Darul Hidayah (KDH), Jalan Sentul sejak tahun 2017.

“JAWI turut membangunkan Pelan Strategik Mualaf Wilayah Persekutuan Tahun 2022-2026 dan memperluaskan kelas pengajian mualaf di masjid-masjid terpilih di sekitar Wilayah Persekutuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, JAWI berkata penganjuran konvensyen tersebut bertujuan mendekati dan memahami isu serta pemasalahan yang sering dihadapi oleh golongan mualaf.

“Dengan cara itu ­sekali gus ­membantu menghasilkan ­cadangan dalam membantu ­menyediakan perancangan pengurusan mualaf ­pada masa hadapan. Ia ­juga ­menjadi platform perkongsian maklumat ­berkaitan pengurusan mualaf ­seperti prosedur ­pengislaman, kelas ­pengajian mualaf serta isu-isu kebajikan dan bantuan untuk mualaf,” jelasnya konvensyen tersebut adalah kerjasama di antara pihak JAWI dan MAIWP.

Turut hadir Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Untuk rekod, sejumlah 1,266 mualaf telah mendaftarkan ­pengislaman di JAWI sejak tahun 2022 sehingga bulan Jun yang lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas