SPRM nafi panggil 50 pekebun siasat isu ceroboh tanah kerajaan Pahang

SPRM nafi panggil 50 pekebun siasat isu ceroboh tanah kerajaan Pahang

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan memanggil 50 pekebun berhubung isu pencerobohan tanah kerajaan negeri yang dijadikan ladang durian haram di Raub, Pahang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata SPRM tidak pernah memanggil mana-mana pekebun untuk siasatan kes berkenaan.

“Apa yang saya boleh sahkan setakat ini, SPRM telah membuka kertas berhubung siasatan kes itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Korporat Liabiliti, di sini, hari ini.

Azam berkata pihaknya akan melihat kes berkenaan jika ada isu lain berhubung rasuah dan salah guna kuasa penerokaan tanah haram itu.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Azam mengarahkan SPRM Pahang untuk mendapatkan maklumat lanjut dari Pejabat Daerah dan Tanah Raub serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang berhubung pencerobohan tanah kerajaan negeri itu.

Pada 1 Ogos, kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di tanah kerajaan negeri.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata SPRM juga telah membuka kertas siasatan kes pencemaran Sungai Gong, Rawang.

“Kami sedang melihat beberapa isu di bawah bidang kuasa kami dan saya ingin menyatakan bahawa bukan sahaja SPRM yang siasat kes ini, malah polis serta pihak berkuasa lain turut menjalankan siasatan,” katanya enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini, Bernama melaporkan kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air sungai berkenaan didapati beroperasi tanpa lesen sejak 2014.

Kira-kira 5 juta penduduk Lembah Klang dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran pencemaran minyak yang didakwa dilepaskan daripada kilang terbabit sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Dalam pada itu, mengulas mengenai laporan parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) kepada SPRM berhubung isu pemberian tanah seluas 1,200 hektar di Perak yang didakwa mempunyai unsur rasuah, Azam berkata pihaknya juga telah membuka kertas siasatan kes berkenaan.

“Kes berkenaan sedang disiasat oleh SPRM Pahang maka saya tidak boleh mengulas lebih lanjut kerana ia masih dalam siasatan,” katanya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan beliau sedia bekerjasama dengan pihak SPRM berhubung perkara itu, selaras dengan prinsip pentadbiran kerajaan negeri Perak yang sentiasa menekankan kepada kedaulatan undang-undang. – BERNAMA

CATEGORIES