Berita

Penyelesaian isu ‘sekolah tumpang’ di Sabah jadi keutamaan – Radzi Jidin

|
- Diterbit 15 September 2020 6:28 AM MYT

PENYELESAIAN bagi isu ‘sekolah menumpang’ di Sabah yang berlanjutan sejak sekian lama menjadi tumpuan dan keutamaan Kementerian Pendidikan, kata Menteri Kanan Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata secara keseluruhannya terdapat 23 buah sekolah di Sabah yang kini menumpang di sekolah lain.

Menurutnya sekolah tumpang itu terdiri daripada beberapa kategori termasuk sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang menumpang di sekolah kebangsaan (SK).

Katanya isu itu berpunca daripada pelbagai faktor termasuk kegagalan pihak kontraktor menyiapkan projek bangunan sekolah dalam masa yang ditetapkan.

“Kita sedang melihat supaya peruntukan dapat diselaraskan ke sekolah ini (sekolah tumpang) berdasarkan keutamaan yang mengambil kira antaranya kapasiti sekolah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu program di Kompleks Sukan Kudat, di sini, semalam.

Mengambil contoh SMK Langkon di Kota Marudu, Radzi berkata sekolah itu kini menumpang di SK Langkon.

Katanya projek pembinaan SMK Langkon telah bermula beberapa tahun yang lalu namun akibat beberapa isu pembinaannya tertangguh.

Dalam lawatannya ke SK Langkon baru-baru ini, Radzi turut mendapati keadaan fasiliti dan bangunan di SK Langkon berada dalam keadaan daif.

“(Pembinaan) SMK Langkon akan kita percepatkan dan kita harap pembinaan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat. Kita juga telah buka tender untuk projek ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas