Berita

SPM: “Jangan tekan anak dapat markah tinggi hingga mereka stres” – Jasmin Hamid

- Diterbit 26 Februari 2021 10:21 PM MYT

PELAJAR yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) salah antara golongan yang terkesan akibat pandemik COVID- 19 yang sedang menular.

Mereka tidak dapat meneruskan pembelajaran seperti sebelum ini, malah terpaksa pula berdepan norma baharu dalam sesi pembelajaran.

Menurut pelakon Jasmin Hamid,46, para ibu bapa perlu memberi perhatian lebih kepada anak-anak calon SPM buat masa ini.

“Kita semua maklum, pandemik COVID-19 sedikit sebanyak mengganggu proses pembelajaran anak yang sedang menduduki SPM.

“Iyalah, mereka belajar pun luar daripada kebiasaan seperti dalam talian. Agak sukar buat mereka kerana itu adalah norma baharu.

“Jadi, buat masa ini ibu bapa perlu lah meluangkan lebih Masa untuk fahami tekanan yang sedang dihadapi oleh anak-anak. Tinggalkanlah sekejap kesibukan bekerja untuk selami perasaan mereka.

“Mungkin ada antara mereka tidak menunjukkan kebimbangan kerana sikap yang tidak berubah malah kelihatan biasa sahaja. Ibu bapa perlu dalami apa yang sedang mereka lalui,” jelas Jasmin Hamid yang berharap para ibu bapa di luar sana mengambil tahu atau cakna dengan perubahan anak.

Bagi Jasmin, SPM adalah sesuatu yang boleh menjadi beban buat mereka yang tertekan.

“Jadi sebagai ibu bapa, kenalah peka terhadap perubahan anak dan berusahalah untuk mengurangkan tekanan yang mereka hadapi. Saya tahu ini saat-saat sukar buat mereka.

“Ibu bapa perlu memberi kata-kata semangat dan motivasi kepada anak-anak agar mereka rasa seronok untuk duduki SPM.

“Namun jangan sesekali memaksa mereka untuk menjawab dengan cemerlang kerana mereka akan rasa terbeban. Sekarang adalah masa untuk mereka bertenang dalam menjawab SPM, bukan masa untuk mengulangkaji.

“Jangan tekan mereka supaya mendapat markah tinggi sehingga mereka stres.

“Katakan kepada mereka, jawablah sekadar mengikut kemampuan. Kalau mereka meluahkan rasa bimbang, katakan SPM bukanlah pengakhiran kerana masih banyak peluang lain untuk berjaya,” luah Jasmin lagi.

Betul cakap Jasmin, ramai di luar sana tidak cemerlang dalam akademik tetapi berjaya dalam bidang yang diceburi. Jadi SPM bukanlah pengukur kejayaan hidup ssemata-mata – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas