Berita

Makcik Salmah selamat tiba kembali ke pangkuan keluarga

||
- Diterbit 27 Februari 2021 2:13 AM MYT

PENDERITAAN seorang warga emas berusia 70 tahun telah berakhir setelah lebih daripada 20 tahun terkandas di Sibu, Sarawak dan kini kembali kepangkuan keluarganya di Labuan, semalam.

Warga emas itu kehilangan kad pengenalan diri dan ketiadaan wang selepas diragut ketika bercuti ke negeri itu pada 20 tahun lalu.

Salmah telah dihantar pulang dengan menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Sibu ke Lapangan Terbang Miri, dan seterusnya ke Lawas.

Setelah tiba di Lawas, warga emas itu dibawa menaik pengangkutan darat dari Sindumin ke Menumbok dan kemudian dibawa ke Labuan dengan menaiki bot pangalang APMM.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan Rithuan Mohd Ismail berkata, misi membawa pulang makcik Salmah itu turut melibatkan Kebajikan Masyarakat (Kuching, Sibu, Lawas, Labuan), Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

” Atas kerjasama semua jabatan melalui platfom JPBD telah berjaya menyelaras misi ehsan untuk membawa pulang makcik Salmah ke pangkuan keluarga di Labuan,” katanya kepada pemberita ketika misi penghantar pulang warga emas itu di Terminal Bot Menumbok, Sabah semalam.

Mengulas lanjut, Rithuan berkata sebaik sahaja tiba di Labuan makcik Salmah akan dibawa ke Hospital Labuan untuk membuat saringan dan mendapatkan rawatan susulan keadaanya yang lemah.

Sementara itu, Pengarah JKM Labuan Ansharey Matarsad berkata proses penghantaran balik warga emas itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah yang dihadapi.

Katanya, Pihak JKM Sibu dan Lawas turut membantu menghantar makcik Salmah dengan menggunakan kenderaan jabatan  untuk menghantarnya ke sempadan Sarawak dan Sabah di Merapok.

” JKM Negeri Sarawak telah memohon kepada JKM Labuan untuk mengambil makcik Salmah di sempadan Sabah dan Sarawak di Sindumin dan setelah tiba di Menumbok kita membawa beliau dengan menaiki bot APMM untuk kembali pangkuan keluarganya di Labuan,” katanya.

Ketibaan warga emas itu turut dinantikan dengan suasana pilu kegembiraan oleh cucu-cucunya dan anak saudaranya serta keluarga yang sekian lama tidak bertemu. – KHAIRUL IDIN – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas