Berita

‘Spider-Women’ bangkit selepas patah kaki

AKSI Wan Athirah Hidayah ketika Kejohanan Sukan Mendaki Kebangsaan 2019 di Cheras baru-baru ini.
- Diterbit 22 November 2019 5:16 AM MYT

Cyberjaya – Walaupun pernah terjatuh ketika memanjat dinding hingga mengalami patah kaki, namun ia tidak melunturkan semangat Wan Atirah Hidayah Ahmad Fauzi untuk terus gigih berusaha hingga menempa kejayaan dalam sukan lasak berkenaan.

Buktinya, pelajar Fakulti Pengurusan (FOM) Universiti Multimedia (MMU) itu telah muncul juara dalam Kejohanan Sukan Mendaki Kebangsaan 2019 baru-baru ini bagi kategori Speed (wanita), Terbuka Nasional dan juga Tempat Kedua dalam kategori Speed (wanita), Inter-State dan Tempat Ketiga dalam kategori Boulder (wanita), Terbuka Nasional.

Wan Atirah Hidayah, 23, yang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, dia tidak menjangka meraih kemenangan kerana saingan daripada peserta yang merupakan atlet-atlet kebangsaan adalah sangat sengit.

“Saya pernah bertanding dengan mereka dan ini merupakan kali pertama saya berjaya,” katanya.

Wan Atirah adalah salah seorang daripada empat pelajar MMU yang mewakili negeri masing-masing dan berjaya merangkul kejuaraan dalam Kejohanan Sukan Mendaki Kebangsaan 2019 anjuran Kementerian Belia dan Sukan di pusat beli-belah di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kejohanan tersebut disertai 150 atlet yang mewakili negeri, persatuan dan kelab sukan dari seluruh negara.

Menurut Wan Atirah, kunci kejayaannya ialah keupayaan mengatasi perasaan takut jatuh supaya menjadi lebih tangkas.

Katanya, perasaan berkenaan jika tidak diatasi akan menjejaskan tumpuan dan mengakibatkan dia terjatuh sehingga patah kaki semasa beraksi dua tahun lepas.

Ujarnya, kemalangan itu seterusnya menjadi pembakar semangat sehingga berjaya memenangi tempat pertama bagi kategori Novis dalam pertandingan antarabangsa pada awal tahun ini di Singapura, iaitu SMU Gravical 2019.

Mengulas tentang penglibatan wanita dalam sukan memanjat, Wan Atirah mengakui sukan lasak itu masih baharu dalam kalangan wanita di Malaysia.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas