Berita

Rafiq sandaran emas tenpin boling negara

RAFIQ bangga mengibarkan Jalur Gemilang di setiap kejohanan yang disertainya.
- Diterbit 22 November 2019 5:12 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kemenangan dramatik pada hari terakhir acara tenpin boling temasya Sukan SEA 2017 merupakan detik paling diingati jaguh Tenpin Boling lelaki negara, Rafiq Ismail, 23.

Mengimbau kembali kejayaan pasukan tenpin boling pada temasya tersebut, pemain muda ini berjaya menghadiahkan negara dua emas menerusi kategori masters dan individu serta satu perak bagi kontinjen negara.

Menyifatkan kejayaan itu sebagai pendorong utama untuknya beraksi pada temasya Sukan SEA 2019 yang bakal berlangsung di Filipina penghujung bulan ini, Rafiq yakin skuadnya mampu menyumbangkan emas buat Malaysia.

“Skuad kali ini memang kuat dan terdiri dalam kalangan atlet yang hebat. Malah pada Kejohanan Asia baru-baru ini telah terbukti kami merupakan pasukan lelaki terbaik di Asia,” ujarnya.

Mengulas mengenai persiapannya menghadapi temasya tersebut, dia kini masih dalam proses menjalani latihan secara sistematik selain melatih diri untuk berfikir secara lebih positif dengan sebarang kemungkinan.

Bagi edisi Sukan SEA kali ini, skuad tenpin boling negara akan menghantar lapan orang atlet yang terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita.
Pada temasya 2017, skuad tenpin boling negara berjaya meraih tujuh emas, empat perak dan tiga gangsa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas