Berita

SOP zon hijau dimuktamad minggu depan

DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
- Diterbit 28 April 2020 8:40 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan yakin dapat memuktamadkan prosedur standard operasi (SOP) bagi zon hijau pada minggu depan sebelum diumumkan kepada rakyat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kajian mengenainya kini memasuki fasa terakhir yang dilakukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Banyak zon diisytiharkan sebagai zon hijau dan kita masih lagi berbincang SOP tersebut. Jika ada kelonggaran di zon hijau, SOP tetap perlu dipatuhi.

“Sebagai contoh, kawasan perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang berpagar dengan keseluruhan penduduknya tidak bergejala selepas sebulan tidak dibenarkan keluar.

“Mungkin kita boleh mencadangkan dibenarkan keluar, turun ke bawah tetapi tidak boleh keluar daripada kawasan mereka. Jadi, boleh bawa anak turun sebagainya dan (mengunjungi) blok ke blok dalam dua atau tiga jam,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Beliau turut menjelaskan input daripada semua kementerian sedang diperoleh supaya SOP yang akan dikeluarkan adalah menyeluruh.

Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri menasihatkan orang ramai supaya berdisplin dan patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kalau dilihat perbandingan PKP satu hingga ketiga yang akan berakhir hari ini menyaksikan jumlah tangkapan turun naik dan dari segi pematuhan kadang-kadang elok dan lebih teruk.

“Perlu diingat, yang menentukan PKP itu tamat dengan cepat atau tidak adalah rakyat sendiri. Kalau patuh PKP, jumlah kes berkurangan dan mungkin PKP ditamatkan serta banyak kelonggaran boleh dinikmati,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas