Berita

Pemborong, peniaga Pasar Borong KL mesti buat saringan swab

PENIAGA Pasar Borong Kuala Lumpur telah memulakan kembali operasi hari ini.
- Diterbit 28 April 2020 7:11 AM MYT

PUTRAJAYA – Semua pemborong dan peniaga di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur perlu menjalani proses saringan swab Covid-19 sebelum memulakan operasi mereka.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, arahan itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan terdapat kes Covid-19 di pasar borong tersebut.

“Hanya mereka yang mempunyai kad pengesahan bebas atau negatif Covid-19 daripada hospital atau klinik kerajaan atau swasta sahaja dibenarkan beroperasi.

“Begitu juga kepada pemandu lori dalam mengambil produk-produk dari pasar borong itu ke pasar-pasar lain,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan kerajaan selepas terdapat tiga peniaga di pasar lain yang positif Covid-19 selepas mengambil barangan daripada Pasar Borong Selayang.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menambah, KKM juga sedang mengesan sesiapa sahaja yang mempunyai kontak dengan mereka yang positif Covid-19 daripada pemborong di Pasar Borong Selayang.

“Kita dapati terdapat sebuah pasar lain yang mengambil barangan daripada pasar borong tersebut.

“Apa yang pasti, mereka yang mempunyai hubungan tersebut akan menjalani ujian saringan swab Covid-19,” katanya.

Semalam kerajaah memutuskan untuk menutup pasar awam di Jalan Othman, Petaling Jaya selepas seorang peniaga dikesan positif Covid-19. Dia dikatakan telah pergi ke Pasar Borong Selayang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas