Berita

SOP ketat dikaji sebelum benarkan pelajar IPT pulang

- Diterbit 21 April 2020 9:30 AM MYT

 

PUTRAJAYA – Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terkandas di kampus masing-masing akibat Covid-19 berkemungkinan dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun menegaskan, prosedur standard operasi (SOP) yang ketat sedang dikaji bagi mengelakkan pergerakan ramai-ramai hampir 100,000 pelajar IPT.

“Kita faham ibu bapa dan pelajar IPT rasa tertekan kerana begitu lama berada di kolej atau kampus masing-masing.

“Kerajaan menerima banyak rayuan untuk mereka pulang ke kampung. Hari ini, kita telah mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka telah berada di kampus lebih 28 hari. Jikalau kita dikuarantin dua kali tidak bergejala, kita boleh anggap mereka ini tidak ada jangkitan Covid-19 ini,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau menjelaskan pihaknya akan menjalankan saringan kesihatan Covid-19 sebelum kebenaran diberikan kepada mereka.

Justeru, Ismail Sabri berkata, perkara itu akan menjadi topik perundingan antara peringkat KKM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam membantu para pelajar IPT ini pulang ke kampung.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN), KKM dan KPT akan mengeluarkan SOP untuk penghantaran pulang tersebut.

“Alasan kita tidak membenarkan dahulu adalah tidak mahu pergerakan besar-besaran,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas