Berita

23.4 juta topeng muka diedarkan percuma kepada rakyat

PEMANDU bas memakai topeng mulut dan hidung ketika betugas.
PEMANDU bas memakai topeng mulut dan hidung ketika betugas.
- Diterbit 21 April 2020 9:43 AM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 23.4 juta topeng muka percuma telah berjaya diedarkan kepada setiap isi rumah terutama di Semenanjung Malaysia.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, angka tersebut merangkumi 69 peratus daripada 32.4 juta helai topeng muka yang diperuntukkan oleh kerajaan.

“Topeng muka ini diedarkan oleh Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) ke pusat pengurusan bencana daerah setiap negeri sebelum diagihkan kepada isi rumah.

“Setiap isi rumah akan mendapat empat keping topeng muka,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan pengedaran topeng muka percuma kepada Sabah dan Sarawak akan dijalankan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, semua penganjur bazar Ramadan diminta memulangkan semula wang deposit yang dibayar oleh peniaga susulan larangan operasi perniagaan itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, ini termasuk penganjur sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pertubuhan akur dengan arahan larangan itu agar tidak membebankan para pengguna.

“Saya harap jangan ada sesiapa mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain. Mereka membayar deposit dengan harapan bazar Ramadan akan dibuka tahun ini.

“Bagaimanapun, apabila PKP dilaksanakan, kerajaan membuat keputusan bazar Ramadan tidak dibenarkan dibuka. Harap dapat pulangkan keseluruhan deposit bayaran yang dibuat peniaga,” katanya.

Jelas Ismail Sabri, para penganjur perlu mencontohi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memulangkan semua wang deposit yang dibayar peniaga sebelum ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas