Berita

Kejohanan eRGP Causeway Edition 26 April ini

ALEX mahu teruskan kesinambungan eRacing.
- Diterbit 21 April 2020 7:50 AM MYT

KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan penganjuran ‘Lock Down Edition’ di mana ratusan pelumba seluruh Malaysia dan Singapura beradu kepakaran lumba simulator menerusi platform RaceRoom, Axle Motorsport dengan kerjasama Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) bakal menganjurkan Kejohanan eRGP Causeway Edition yang akan bermula 26 April ini.

Langkah yang diambil Axle Motorsport dan MAM ini adalah bagi memastikan sukan eRacing terus berada pada kelasnya yang tersendiri kerana ia dilihat mempunyai peminat dan komuniti yang besar.

Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir nyata amat teruja dengan penganjuran eRGP Causeway Edition.

“Ia adalah langkah bagus yang dilakukan apatah lagi dikendalikan sendiri bekas pelumba Formula 1, Alex Yoong.

“Alex sudah pasti akan menjadi kayu ukur buat penganjur yang lain. Syabas buat Alex dan pasukannya di atas penganjuran ini. Saya yakin seluruh peminat sukan eRacing tidak sabar untuk menyaksikan kejohanan ini nanti,” jelas Mokhzani.

Sementara itu, menurut Alex Yoong yang juga merupakan pengasas Axle Motorsport, peluang ini adalah untuk meluaskan jenama eRGP SEA menerusi platform atas talian serta menjalin hubungan kerjasama dengan badan pengelola sukan permotoran Malaysia dan juga Singapura.

“Pertama sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada MAM di atas kebenaran untuk menganjurkan eRGP Causeway Edition dan memberikan kami keyakinan yang tinggi untuk meneruskan penganjuran ini.

“Dengan kehadiran ramai bintang baharu ke dalam perlumbaan simulator, kami tekad untuk menyediakan platform berkelas dunia untuk mereka mempamerkan kemampuan,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas