Berita

SOP di Pasar Harian Selayang perlu lebih sistematik

JALALUDDIN (kanan) meninjau keadaan di Pasar Harian Selayang berikutan aduan yang diterima.
- Diterbit 10 September 2021 6:30 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dinasihati untuk meneliti kaedah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Harian Selayang agar lebih sistematik dan tidak membebankan mana-mana pihak.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, terdapat beberapa isu yang menjadi pertikaian antara Persatuan Peniaga dan DBKL antaranya membabitkan warga asing, lot meniaga dalam bangunan, pelesenan dan beberapa isu berbangkit menerusi tinjauannya di pasar berkenaan pada Selasa.

Jalaluddin berkata, pihaknya telah memaklumkan jabatan-jabatan berkaitan untuk memberikan maklum balas segera berkaitan perkara yang dibangkitkan untuk tindakan sewajarnya diambil.

“Pada Jumaat lepas, saya dapat aduan mengenai beberapa perkara yang sedang dialami oleh peniaga di Pasar Harian Selayang.

“Saya luangkan masa kira-kira dua jam bagi meninjau sendiri keadaan yang berlaku di pasar berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Jalaluddin, pihaknya turut berkesempatan mendapatkan maklum balas daripada beberapa peniaga yang beroperasi di pasar berkenaan.

Tambahnya lagi, sebelum ini beberapa langkah telah diambil bagi membantu mengurangkan beban yang ditanggung peniaga harian yang terlibat.

“Antaranya pihak DBKL telah memberikan pengecualian bayaran fi sewa sebanyak 100 peratus selama tujuh bulan sehingga Disember ini.

“Rata-rata peniaga yang saya jumpa memberi respon positif dan mengakui inisiatif ini sedikit sebanyak berjaya mengurangkan beban mereka,” katanya.

Tambah Jalaluddin, pihaknya memahami isu pasar borong dan Pasar Harian Selayang telah lama berlarutan dalam tempoh jangka masa yang panjang dan sewajarnya cuba diselesaikan dalam kadar yang segera.

“Seperti saya pernah katakan sebelum ini, jika tidak boleh selesaikan semua isu, jangan pula langsung tak cuba selesaikan, saya doakan semua peniaga di Pasar Harian Selayang terus dimurahkan rezeki.” katanya. – WILAYAHKU – SABRINA SABRE

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas