Utama

SOM meriahkan Istana Budaya sebelum ditutup dua tahun

PELAJAR MSU bermain alat muzik ketika pelancaran Program SOM di Istana Budaya baru-baru ini.
- Diterbit 26 Mei 2023 3:45 AM MYT

BAGI menyemarakkan lagi programprogram kampus yang memberi fokus dalam seni pendidikan muzik, Istana Budaya menyusun Kempen Gerak bagi memaparkan keunikan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) kepada warga kampus di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) melalui Program Sounds of Malaysia (SOM).

Program ini memberi peluang kepada universiti-universiti di Malaysia untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama OTM untuk memberi pendedahan muzik tradisional kepada generasi muda.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar berkata buat julung kalinya penglibatan bersama universiti-universiti tanah air ini merupakan inisiatif yang patut diberikan galakan.

“Ia salah satu medium bagi menyampaikan ilmu, kemahiran dan pengalaman oleh ahli-ahli muzik OTM yang sudah lama bergiat aktif dengan mengadakan bengkel muzik tradisional kepada pelajar-pelajar universiti,” ujar beliau.

Kempen Gerak yang melibatkan program jangkauan ini adalah merupakan usaha Istana Budaya dalam melebarkan sayap seni yang mana bangunan Istana Budaya akan ditutup bermula Januari 2024 sehingga Januari 2026.

Sebelum berakhirnya tahun 2023, Istana Budaya turut mengalu-alukan syarikat produksi dan agensi yang berminat untuk mengadakan persembahan dengan menghantar permohonan penggunaan Panggung Sari selewat-lewatnya pada akhir bulan September 2023.

Terdahulu, Program SOM yang melibatkan IPTA dan IPTS ini adalah dijadualkan pada ketetapan seperti USIM pada 11 November 2023, MSU pada 23 dan 24 Mei 2023 dan UPSI pada 24 Jun 2023. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas