Utama

50 karya seni bertemakan keselamatan dipamerkan di KL City Art Gallery

ANTARA karya bertemakan ‘Keselamatan Diutamakan’ yang dipamerkan di KL City Art Gallery.
- Diterbit 26 Mei 2023 3:15 AM MYT

PEMINAT seni catan, arca dan foto berpeluang menikmati serta menghayati hasil karya artis tempatan dan kurang upaya yang sedang dipamerkan bermula 21 sehingga 28 Mei ini di KL City Art Gallery.

Menurut Pengarah Urusan Soriata Event Management Services, Rita Hatta, pameran pada kali ini akan mempamerkan kira-kira 50 karya seni dengan tema ‘Keselamatan Diutamakan’.

“Pameran ini merangkumi semua skop keselamatan di mana karya seni menggambarkan pelbagai aspek kehidupan seharian dan menawarkan pandangan tentang kepentingan keselamatan dalam rutin harian kita.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk mendidik orang ramai tentang keperluan langkah-langkah keselamatan dan menitikberatkan amalan keselamatan dalam kehidupan seharian,” kata beliau.

Rita Hatta memaklumkan pameran yang bermula pada pukul 11 pagi hingga 6 petang itu terbuka kepada orang ramai di mana pengunjung berpeluang untuk melihat karya artis tempatan dan kurang upaya berbakat.

Dalam pada itu, beliau mengakui teruja dengan penganjuran Pameran Seni Keselamatan Pertama dan tidak sabar untuk mempamerkan bakat artis yang terlibat selain mempromosikan kepentingan keselamatan dalam kehidupan seharian mereka.

“Kami percaya ia adalah peluang terbaik untuk orang ramai meneroka pelbagai karya seni yang menggabungkan kreativiti dan keselamatan dengan cara unik.

“Pameran ini adalah acara yang telah dirancang dan dilaksanakan dengan teliti untuk memberikan pengalaman unik kepada pengunjung.

Jadi kami ingin menjemput semua bagi memeriahkan sebahagian daripada acara yang menarik ini di samping memanfaatkan kepentingan keselamatan melalui seni,” tambah beliau yang turut hadir bagi merasmikan pameran, kartunis terkenal, Zunar atau nama sebenarnya Zukiflee Anwar Haque.

Terdahulu, Soriata Event Management Services bekerjasama bersama badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Belia Perkasa dan Prihatin dengan sokongan daripada Emergency Medical Services (EMS) di bawah Ariff Soon Abdullah untuk menjayakan pameran tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas