Berita

Prestasi SPM 2019 Kuala Lumpur melonjak

MAZNAH (lima dari kanan) bergambar bersama sebahagian pelajar cemerlang dan ibu bapa selepas sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2019 di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie, Kuala Lumpur hari ini.
- Diterbit 5 Mac 2020 5:27 AM MYT

KUALA LUMPUR – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan peningkatan pencapaian indeks Gred Purata Negeri 4.86 mata berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 4.80 mata.

Menurut Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Maznah Abu Bakar, peningkatan itu juga mengatasi Gred Purata Nasional (GPN) yang mencatat 4.90 mata iaitu perbezaan sebanyak 0.04 mata.

“Pada tahun 2019, seramai 13,533 (86.02 peratus) orang calon layak dianugerahkan sijil berbanding 14,118 (86.53 peratus) calon pada tahun 2018.

“Di sini, terdapat 14 buah sekolah yang mencatatkan 100 peratus calon layak memperoleh sijil SPM berbanding 12 buah sekolah pada tahun lalu,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut Maznah memberitah,  seramai sembilan orang calon (0.06 peratus) telah memperoleh keputusan Cemerlang Tertinggi (A+) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 13 orang (0.08 peratus) pada 2018.

Tambahnya, bagi pencapaian cemerlang minimum A- (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki, seramai 364 orang (2.31 peratus) telah memperoleh minima A- dalam semua mata pelajaran berbanding 398 orang (2.44 peratus) pada tahun 2018. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas