Berita

Jalur Gemilang satukan rakyat

GOH AH LING menunjukkan Jalur Gemilang yang dipasang di kedainya.
- Diterbit 29 Ogos 2019 5:28 PM MYT

Oleh MD. KHAIRUL AZAD YUNUS
dan JEFFREY NIAN

LABUAN – Bagi me­nyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-62, warga Wilayah Persekutuan Labuan tidak ketinggalan menyahut seruan untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis-premis perniagaan, bangunan kerajaan, pejabat dan rumah kediaman.

Tinjauan di beberapa lokasi menunjukkan warga Labuan menzahirkan semangat patriotik sempena Bulan Kemerdekaan dengan memasang Jalur Gemilang di tempat mereka. Bendera Kebangsaan itu juga dikibarkan di serata kawasan kampung, sekolah-sekolah, lokasi tumpuan pelancong, jalan-jalan utama serta rumah-rumah ibadat di Labuan.

Seorang warga emas, Ahad Kasim, 66, berkata, dia tidak mahu ketinggalan memasang Jalur Gemilang di gerai jualannya di Pasar Sentral di sini bagi sama-sama menghidupkan suasana Hari Kebangsaan 2019 dan Hari Malaysia.

“Sudah menjadi kelaziman setiap tahun untuk kami memasang Jalur Gemilang di gerai jualan apabila memasuki bulan Ogos untuk memeriahkan suasana dan menceriakan lagi keadaan di pasar ini.

“Ini juga sebagai sokongan kami untuk melihat masyarakat menghormati Jalur Gemilang walau di mana mereka berada,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Goh Ah Ling, 59, berkata, dia memasang Jalur Gemilang di gerainya kerana melihat suasana kibaran bendera kebangsaan itu di tempat lain yang mulai meriah sejak awal Ogos ini.

“Saya mesti mahu pasang sebab orang lain banyak pasang, saya pun mesti sama-sama sambut merdeka.
Ini (pasang Jalur Gemilang) macam saya sayang sama Malaysia, walaupun satu helai saja tapi saya tetap mahu pasang,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja di sebuah kedai, Nur Ain Lamit, 23, berkata, sambutan Hari Kebangsaan tidak lengkap tanpa mengibarkan Jalur Gemilang di premis perniagaan tempat kerjanya.

“Saya cadangkan kepada majikan untuk memasang Jalur Gemilang di kedai ini dan saya tidak kisah membelinya dengan duit sendiri.

“Sebagai generasi muda saya ingin tunjukkan rasa sayang kepada negara dengan memasang Jalur Gemilang,” jelasnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas