Berita

SMK Labuan guna sistem bayar tanpa tunai mulai April

FAHIZ (tiga dari kiri) menunjukkan kad i-3S pada majlis pelancaran aplikasi pintar itu di Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 13 Mac 2020 8:17 AM MYT

LABUAN – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan bakal menjadi sekolah pertama di pulau ini menggunakan aplikasi Sistem Pengurusan Sekolah Bersepadu (Sistem Pengurusan Murid) i-3S bermula awal April ini.

Ia merupakan sistem pembayaran tanpa tunai dan rekod kehadiran murid serta guru secara elektronik.
Pengarah Winner Touch, Fahiz Izzat berkata, pihaknya telah menjalankan program itu sejak tahun 2016 di Semenanjung melibatkan 102 sekolah rendah dan menengah di bawah pemantauan Jabatan Pendidikan.

“Selaras dengan konsep tanpa tunai selain merekodkan kehadiran pelajar dan guru, aplikasi itu membolehkan pemantauan ibu bapa terhadap kehadiran anak-anak.

“Malah ibu bapa juga boleh memantau pembelanjaan anak-anak dari semasa ke semasa. Sebagai contoh, mereka boleh mengehadkan jumlah pembelanjaan anak seperti RM5 sehari atau lebih,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program i3S di sini baru-baru ini.

Program itu laksanakan Winner Touch bersama Jabatan Pendidikan Labuan.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Raisin Saidin dan Pengarah Urusan I-3S, Siew Teck See.

Fahiz berkata, pembelian tanpa tunai itu hanya terhad di sekolah dengan setiap tambah nilai boleh dilakukan secara online di aplikasi i-3S dan terminal yang akan dibina.

Menurutnya, pendaftaran bagi setiap kad bernilai RM20 dengan disertakan RM5.

Sementara itu, Raisin berkata, pihaknya memberikan kerjasama yang baik dengan Winner Touch bagi melaksanakan aplikasi i-3S di setiap sekolah di Labuan.

i-3s adalah akronim bagi Sistem Pengurusan Sekolah Bersepadu (Sistem Pengurusan Murid) yang diwujudkan selepas bertahun-tahun perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, bermula pada tahun 2012. Pada asasnya, program ini menyediakan kad pengenalan untuk pelajar, guru dan kakitangan untuk menggunakan untuk mengambil kehadiran secara automatik dan membuat bayaran untuk pembelian sekolah dengan mudah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas