Berita

Labuan meriah dilimpahi cahaya

HIASAN lampu berbentuk kapal di Kampung Sungai Bangat.
- Diterbit 13 Mac 2020 8:12 AM MYT

LABUAN – Kerjasama yang padu antara penduduk kampung menjadikan Labuan diterangi dengan cahaya berwarna-warni pada Pertandingan Keceriaan Lampu atau bercucol sempena Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Patau-Patau 1, S. Roslee Matusin berkata, kerjasama penduduk kampung yang erat menjadikan suasana kampung itu ceria dan penuh warna-warni.

“Sebelum ini kawasan agak suram tetapi kini landskap kampung dapat menarik kunjungan orang kampung serta orang luar untuk datang melihat sendiri kecantikan lampu-lampu yang berwarna-warni.

“Hasil kerjasama penduduk kampung terutama golongan ibu dan anak muda sangat membanggakan kerana sanggup menyiapkan segala hiasan setiap malam selama sebulan tanpa mengenal penat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Roslee berkata, semua hiasan direka dengan tema “Sayangi Wilayahku” serta melambangkan budaya suku kaum Melayu Brunei yang mendiami perkampungan atas air itu.

Bagi Pengerusi MPKK Sungai Bangat, Osman Dullah pula, dia berpuas hati apabila kerja keras penduduk kampung berjaya menghasilkan rekaan lampu berbentuk kapal dagang.

“Kami bergotong-royong sejak awal Februari lalu bagi menghasilkan pelbagai hiasan lampu berwarna-warni termasuklah lampu berbentuk kapal dagang sebagai simbolik kepada kapal dagang yang pernah melalui sungai di kampung ini pada zaman dahulu.

“Kami juga menghasilkan hiasan lampu berbentuk ikan marlin sebagai salah satu ikon bagi Pulau Labuan di samping memasukkan elemen tema ‘Sayangi Wilayahku’,”jelasnya.

Beliau memberitahu, sebanyak 50 set lampu hiasan dan 200 lampu pelita digunakan bagi memberi kelainan serta keceriaan di kawasan sekitarnya.

“Saya berterima kasih atas bantuan orang kampung yang menyumbangkan tenaga dan idea untuk sama-sama menghasilkan lampu hiasan bagi pertandingan julung kali ini,” kongsinya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Herman Kuli, 54, berkata, dia teruja melihat kesungguhan yang ditunjukkan penduduk kampung yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

“Saya bersama keluarga sangat gembira dapat melihat kecantikan lampu-lampu hiasan yang dihasilkan sendiri penduduk kampung. Harap pertandingan ini diadakan setiap tahun dan sudah pasti kami sekeluarga akan ‘pusing’ satu Labuan untuk melihat hasil kreativiti warga kampung yang luar biasa,” katanya.

Sebanyak 24 kampung mengambil bahagian dalam pertandingan anjuran Perbadanan Labuan itu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas