Berita

WX-R Vorteq curi tumpuan dunia

AZIZULHASNI menggunakan jentera WX-R Vorteq ketika Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman baru-baru ini.
- Diterbit 13 Mac 2020 8:23 AM MYT

KUALA LUMPUR – Jentera yang dibina khas untuk jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang dalam memburu emas sulung Sukan Olimpik Tokyo 2020, WX-R Vorteq yang bernilai RM300,000 kini mencuri tumpuan beberapa buah negara.

Beberapa buah negara termasuk Greece dan Lithuania telah menyuarakan hasrat untuk memiliki jentera berkenaan setelah menyaksikan kemampuan pelumba yang digelar The Rocket Pocketman dalam Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman, baru-baru ini.

Pun begitu, Institut Sukan Negara (ISN) dengan kerjasama syarikat penyelidik Totalsim Ltd yang berpangkalan di Britain tetap akan menyimpan beberapa aspek yang menjadi kelebihan kepada pelumba negara ketika digunakan di Olimpik Tokyo nanti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, basikal ini menggunakan teknologi terkini.

“Ia memiliki ciri karbon lebih keras tetapi ringan menggunakan teknologi aerodinamik bagi memastikan rintangan angin lebih rendah bagi membolehkan pelumba bergerak lebih laju,” ujar­nya.

Tambahnya, trend penyelidikan dan pembangunan basikal trek ini sebenarnya sudah lama dibangunkan di beberapa buah negara.

Antara gergasi dalam sukan lumba basikal yang telah lama menjalankan penyelidikan dan pembangunan basikal ini adalah seperti negara Australia dan Great Britain.

Sementara itu, Azizulhasni ketika ditemui pula berkata, jika dilihat prestasi di Berlin baru-baru ini, ada dua pelumba yang mungkin memberikan tentangan terhebat iaitu Lavreysen dan Jeffrey Hoogland kerana mereka meningkat naik sejak tahun lalu.

“Saya tidak begitu risau dengan cabaran mereka kerana ada sekitar lima bulan untuk mempersiapkan diri. Dalam masa sama, saya akan berusaha lakukan yang terbaik selain aspek yang diterapkan kepada basikal.

“Namun saya berharap penyokong memberi sokongan penuh kepada kerana ia penting untuk berada di landasan terbaik. Nantikan pencapaian dalam Tokyo 2020 nanti,” tambahnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas