Artikel

SMART-kan azam 2022, ambil kira potensi diri masing-masing

- Diterbit 14 Januari 2022 8:20 AM MYT

DR AZMAWATY MOHAMAD NOR

DI ambang tahun baru setiap tahun, seringkali kita disuapkan dengan soalan, apa azam tahun ini? Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, azam tahun baru 2022 mungkin mencatat sedikit kelainan.

Bila diajukan soalan apakah azam tahun baru pada tahun 2022, balasan yang diterima disulami dengan senyuman dan diikuti dengan jawapan hampir serupa iaitu untuk menjadi lebih baik.

Pandemik COVID-19 selain isu banjir yang dialami di kebanyakan negeri di Malaysia telah memberikan kesan yang mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia dan sambutan tahun baharu tidak disambut dengan meriah seperti tahun-tahun sebelum pandemik melanda dunia.

Walaubagaimana pun, masih tidak terlewat untuk menanam azam kerana ianya penting untuk menaikkan semangat seseorang dalam berusaha mencapai impian masing-masing.

Apakah yang dimaksudkan dengan azam? Ianya merupakan satu kemahuan, keinginan atau cita-cita yang ingin digapai dan dicapai oleh seseorang dengan bersungguh-sungguh dalam tempoh setahun tersebut.

Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum matlamat atau azam ditetapkan. Di antaranya adalah penetapan matlamat yang jelas dan khusus.

Sebagai contoh, hendak berjaya dalam pembelajaran merupakan satu penetapan azam yang umum, manakala hendak berjaya dalam subjek sejarah memandangkan seorang pelajar itu lemah dalam mata pelajaran tersebut adalah penetapan azam yang lebih khusus.

Selain itu, setiap individu perlu mengetahui potensi diri dengan melihat semula kelemahan dan kekuatan diri.

Bagi memastikan azam tersebut dapat dicapai, individu perlu merangka pelan strategik serta bersedia untuk menghadapi sebarang risiko yang mengakibatkan ketidakcapaian azam yang ditetapkan.

Persoalan seterusnya adalah apakah strategi terbaik untuk menetapkan matlamat azam baharu?

Strategi SMART boleh guna pakai dalam memastikan setiap individu dapat merangka azam dengan baik iaitu S (Specific) – Senaraikan azam yang ingin dicapai dan ianya mestilah spesifik atau khusus. M (Measurable) – setiap azam perlu boleh diukur.

Contohnya pengurangan berat badan sebanyak 5 kilogram (kg) adalah sesuatu yang boleh diukur. A (Attainable) – setiap azam mestilah boleh dicapai dan bukannya diluar kawalan seseorang.

Sebagai contoh, pengurangan berat badan 5kg adalah lebih mudah tercapai berbanding penurunan berat badan sebanyak 30kg dan seharusnya penurunan berat badan perlulah realistik (R) dan bukannya drastik dan perlu mengikut tempoh (T) masa yang ditetapkan.

Seterusnya, bila terlalu banyak azam yang perlu dicapai, ianya mungkin membuatkan seseorang itu tidak fokus dan dikhuatiri akhirnya tidak tercapai bak kata pepatah ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.

Individu yang tidak mengambil kira potensi diri masing-masing boleh menyebabkan terjadinya stress pada diri dalam percubaan mereka untuk menjadi idealistik berbanding diri mereka yang sebenar.

Apakah perbezaan antara diri sebenar dan diri ideal? Diri sebenar adalah sisi seorang indvidu yang dikenali dan sebenar tanpa perlu menjadi orang lain.

Diri ideal adalah diri invidiu yang terhasil daripada apa yang dipelajari melalui pengalaman hidup, tuntutan masyarakat dan perkara yang dipelajari daripada individu yang dikagumi.

Ekspektasi yang terhasil daripada perbezaan diri sebenar dan ideal ini akan menzahirkan kesan stres atau kebimbangan terhadap seseorang.

Kesan stres atau kebimbangan boleh mengundang kepada masalah tekanan dan perasaan tertekan dan seterusnya mengundang kepada hilangnya fokus dan motivasi seseorang.

Namun, berbeza dengan individu yang mengalami kebimbangan berfungsi tinggi, mereka mungkin kelihatan baik di luar, namun mereka mungkin sedang bergelut dengan diri sendiri hanya untuk melepasi hari tersebut.

Orang yang mempunyai kebimbangan berfungsi tinggi selalunya dapat menyelesaikan tugas dan kelihatan berfungsi dengan baik dalam situasi sosial, tetapi secara dalaman mereka merasakan semua gejala yang sama seperti stres atau kebimbangan, termasuk perasaan ketakutan, kebimbangan melampau, degupan jantung yang cepat dan gangguan terhadap sistem pencernaan.

Selain itu, faktor penyebab hilangnya fokus adalah apabila seseorang itu tidak dapat mengimbangi di antara pekerjaan dan kehidupan.

Ketidakseimbangan ini memberikan kesan pada faktor masa yang tidak cukup dan sumber yang ada termasuk sumber kewangan.

Sebagai contoh, penetapan matlamat yang tidak realistik untuk menyimpan sejumlah wang untuk pembelian rumah tetapi wujud kebocoran di dalam mengendalikan kewangan dengan baik.

Oleh itu, pentingnya untuk setiap individu berusaha untuk bertanya pada diri tentang keperluan penetapan matlamat atau azam dalam kehidupan.

Ianya dapat membangkitkan semangat untuk diri menjadi lebih baik. Perkara paling tuntas adalah untuk mengatasi rasa takut terhadap kegagalan.

Perlu diingatkan bahawa kegagalan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan pemangkin untuk terus bangkit dalam mencapai impian.

Hindari daripada pemikiran negatif yang terlampau dan lihat setiap cabaran daripada sudut pandang yang positif.

Rehat yang mencukupi dan pemakanan seimbang dan sihat turut membantu dalam mendapatkan tubuh badan sihat untuk terus bersemangat untuk menempuhi kehidupan seharian.

Paling utama, hadiahkan diri sendiri dengan sesuatu yang bermanfaat agar ianya terus menjadi penggalak untuk terus mencapai azam yang telah pun disenaraikan.

Setiap langkah yang diambil untuk mecapai azam walaupun kecil merupakan satu kemajuan dan penting dalam penetapan azam.

Adakah penetapan azam hanya berlaku di awal tahun? Jawapannya adalah tidak walaupun ianya lebih cantik ditetapkan di awal tahun, tetapi konsep paling utama yang perlu diterapkan adalah sentiasa ingin menjadi lebih baik dan mempunyai matlamat dalam kehidupan.

Refleksi diri membantu untuk merancang dan menambah baik dalam membantu peningkatan prestasi diri. Sekiranya menghadapi isu atau cabaran, bincangkan dengan sistem sokongan anda yang boleh membantu memotivasi dan menyelesaikan masalah. Hargai diri dan pantau kemajuan diri. – WILAYAHKU

Penulis merupakan Kaunselor Berdaftar dan Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di [email protected]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas