Artikel

Sifat pemurah yang dieksploitasi

VIDEO tular memaparkan kanak-kanak etnik Rohingya yang bersikap agresif ketika meminta sedekah di jalanan ternyata mengundang perdebatan ramai.
- Diterbit 21 Januari 2022 3:07 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN

Wartawan Bebas

KEJUTAN pertama ketika menjejak kaki ke Kuala Lumpur hampir 40 tahun lalu adalah apabila melihat banyaknya peminta sedekah dan pengutip derma di kota raya ini.

Bukan kerana semua orang Kuala Lumpur sudah kaya-raya dan tidak mundur seperti di kampung, tetapi disebabkan persepsi yang warga Kuala Lumpur sangat individualistik.

Maknanya orang Kuala Lumpur tidak suka menolong kerana mereka hidup secara ‘aku aku’ dan ‘kau kau.’ Tidak kurang juga yang berpesan, jangan senang-senang memberi pertolongan kepada orang lain terutama bab duit. Tentulah munasabah kerana masing-masing kais pagi makan pagi kecuali golongan elit dan kayangan.

Saya lebih menganggapi keengganan orang Kuala Lumpur menolong orang lain dalam bab duit kerana mereka pun dicengkam kesempitan.

Masing-masing berdepan dengan tuntutan belanja hidup yang tinggi kerana semua benda memerlukan duit. Saya memahami keadaan ini kerana berada dalam golongan yang sama.

Tetapi tanggapan saya terhadap Kuala Lumpur berubah apabila terdapat banyak peminta sedekah. Tanpa sokongan daripada warga Kuala Lumpur, fenomena minta sedekah atau kutip derma tidak akan wujud dan lestari. Kalau tidak ada yang menyokong, tentu tidak akan berkekal lama fenomena itu.

Siapa yang memberi sedekah atau derma itu? Sudah tentu bukan dalam kalangan elit atau kayangan. Mereka jarang atau tidak pernah bertemu peminta sedekah kerana tidak berjalan di kaki lima atau berada di tempat-tempat khalayak biasa. Mereka mungkin dalam ‘Bangsar bubble’ atau ‘Damansara bubble’ yang menyendiri.

Ketika orang marhaen bergayut di tangga bas mini, mereka keluar dari pejabat masuk dalam lif dan terus menuju ke pintu kereta mewah yang sudah sedia terngaga. Kemudian berdesup dalam urat nadi yang berselirat di perut Kuala Lumpur.

Mereka hanya melihat daripada cermin kereta yang dihitamkan. Kalau nampaknya pun dalam keadaan yang samar akan realiti rakyat marhaen yang bergelut untuk hidup.

Sudah tentu yang memberi sumbangan kepada peminta sedekah dan pengutip derma ini golongan yang kais pagi makan pagi juga. Mereka inilah yang mudah ditemui di restoran murah atau di gerai kaki lima. Mereka yang bukan dalam golongan kayangan inilah yang menghulurkan seringgit dua apabila di dekati oleh peminta sedekah.

Malah mereka inilah yang faham akan kesusahan hidup orang lain. Walaupun memberi duit kepada peminta sedekah atau pengutip derma itu boleh menyuburkan kegiatan tersebut, tetapi hakikatnya banyak yang tidak sampai hati.

Apa lagi ketika sedang menikmati juadah, rasa sepeti tidak tertelan apabila melihat ada orang yang memerlukan makan untuk hidup, bukan untuk menikmati keenakan.

Sebenarnya fenomena peminta sedekah bukan baru bagi saya. Ketika bertugas di Utusan Melayu biro Kedah di Alor Setar tahun 1983, pemandangan ini biasa terutama setiap hari Jumaat di perkarangan Masjid Zahir.

Peminta sedekah beratur panjang di bawah payung yang lusuh untuk melindungi terik cahaya matahari.

Bagaimana pun sangat pelik apabila Kuala Lumpur yang dikatakan individulistik, tidak endah akan masalah orang lain terdapat banyak peminta sedekah dan pengutip derma. Kuala Lumpur berbeza dengan masyarakat sekitar Alor Setar. Maka tidak hairan peminta sedekah boleh hidup selesa di bandar itu.

Tetapi agak pelik apabila keadaan yang sama berlaku di Kuala Lumpur. Ini kerana Kuala Lumpur sangat tebal dengan persepsi sebagai kota yang angkuh dan hilang kemanusiaan.

Warga yang mendiami kota raya ini difahami sebagai yang rakus dan hilang belas kasihan. Kebendaan dikatakan menjadi mercu tanda impian warganya.

Kalau berleluasanya peminta sedekah dan peminta derma di Kuala Lumpur disebabkan oleh warganya, saya adalah salah seorang daripada warga itu.

Saya tidak sampai hati untuk menghampakan dan beri juga sekadar termampu.

Bayangkan apabila orang yang sebaya ayah atau ibu menghulur tangan, saya pasti tewas dengan keadaan begitu. Saya fikir orang lain juga serupa.

Beberapa kali juga saya mengajak peminta sedekah dan budak pusat tahfiz yang kutip derma makan bersama-sama. Saya mengambil kesempatan untuk mendapatkan maklumat daripada mereka. Ternyata semuanya memberikan kerjasama yang terbaik.

Maka banyaklah persoalan yang sebelum itu bermain di fikiran saya terjawab. Salah satunya mereka tidak mahu tinggal di rumah kebajikan kerana tidak dapat pegang duit sendiri.

Tanpa berselindung mereka memberitahu pendapatan hasil meminta sedekah. Terkejut besar saya apabila pendapatan mereka hampir menyamai gaji saya yang ketika itu yang belum sampai RM1,000. Saya menjadi semakin tertarik mencungkil disebalik kesanggupan mereka memilih ‘kerjaya’ yang bukan semua orang boleh melakukannya.

Sangat setuju kalau dikatakan peminta sedekah di Kuala Lumpur telah mengeksploitasi sifat pemurah golongan terhadap yang kurang senasib, tetapi mempunyai rasa simpati yang tinggi kepada orang lain.

Memang ada golongan yang agak berada turut menyumbang, tetapi sebahagian besarnya mereka yang juga dibelenggu kesempitan hidup.

Walaupun ada kalanya terdetik rasa tidak berkenan dengan sikap ambil peluang di atas kebaikan orang, tetapi apabila berdepan dengan peminta sedekah kita menjadi lemah.

Tiada upaya untuk membiarkan mereka berdiri lama dengan pandangan yang memohon simpati.

Itulah buruknya hati tisu yang cepat belas dengan kesusahan orang lain.

Saya pernah menjamu sekumpulan empat orang kanak-kanak berusia sekitar lapan atau sembilan tahun dari pusat ‘tahfiz.’

Mereka datang sambil menghulur sekeping surat yang disalut plastik. Malangnya tulisan dalam surat itu sudah amat kabur dan tidak dapat dibaca.

Kelihatan mereka pula amat lelah dan apabila diberikan air sirap mereka meneguk dengan penuh nikmat.

Tetapi mulanya tidak mahu makan. Mereka mahu duit. Apabila saya beritahu selepas makan akan diberi duit barulah semua tersengeh dan nampak gambira. Baju Melayu putih yang dipakai sudah lunyai dan kusam. Saya fikir pada usia sementah itu tugas mereka bukan mengutip derma tetapi belajar.

Rasa sebak apabila melihat mereka makan dengan begitu berselera sekali walaupun berlauk ayam goreng dan kuah kari. Ketika itu mereka sebaya dengan anak-anak saya.

Bayangkan kalau keadaan itu terpaksa dilalui oleh anak-anak saya. Tidak dapat hendak dibayangkan. Semakin dibayangkan semakin sebak jadinya.

Apabila diberitahu mereka yang semuanya anak yatim piatu itu akan didenda termasuk tidak diberi makan kalau tidak bawa pulang duit, saya yakin mereka menjadi mangsa sindiket yang mengeksploitasi sifat pemurah masyarakat untuk mengaut keuntungan.

Eksploitasi begini membentuk pandangan serong masyarakat, mereka yang benar-benar memerlukan akan menjadi mangsa.

Oportunis berada di manamana dan bila-bila sahaja. Mereka menunggu untuk eksploitasi keadaan demi keuntungan.

Mereka berada ketika orang menangis dan juga ketawa. Maka kita yang perlu berhatihati dengan kewujudan manusia serupa itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas