Artikel

Mahu ambil dos penggalak atau tidak?

BAGI rakyat Malaysia, keperluan untuk dos penggalak menjadi mendesak kerana majoriti populasi kita, terutamanya, mendapat suntikan vaksin Sinovac sebagai vaksinasi utama pada fasa awal. Vials with covid-19 coronavirus vaccine on laboratory table ready to be distributed for prevention of infection with this virus
- Diterbit 14 Januari 2022 8:13 AM MYT

PROF DR JAMES KOH

KETIKA rakyat Malaysia sedang menikmati pemansuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan operasi perniagaan, adalah penting juga bagi kita untuk meningkatkan perlindungan diri dari virus COVID-19 dengan mengambil suntikan dos penggalak. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa masih terdapat banyak persoalan menyelubungi isu tersebut. Ketua dan Perunding Penyakit Berjangkit bagi Pusat Pengajian Perubatan di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Profesor Dr James Koh membincangkan persoalan ini bersama kita bagi membantu meningkatkan keyakinan kita.

PROF DR JAMES KOH.

Tetapi perjuangan melawan virus ini adalah berterusan. Beberapa bulan selepas kita memaparkan foto-foto sudah disuntik vaksin dengan penuh bangga, kita sekali lagi dikehendaki pergi ke klinik dan kali ini untuk mendapatkan suntikan dos penggalak pula.

Pihak berkuasa kesihatan sebelum ini memberi jaminan kepada kita yang dos penggalak tidak diperlukan. Jadi, kenapa berlaku perubahan pula?

“Makin banyak yang kita pelajari mengenai virus ini dari semasa ke semasa. Pada mulanya, dua dos vaksin sudah difikirkan memadai. Tetapi penyelidikan diteruskan dan dengan data baharu kita kini tahu bahawa kesan perlindungan (atau tahap peneutralan antibodi) bagi semua vaksin cenderung menurun mengikut peredaran masa.

“Sebab itulah kerajaan dan pihak berkuasa lain di seluruh dunia kini mengesyorkan suntikan dos penggalak,” jelas Profesor James.

KESEDARAN YANG MENDESAK

BAGI rakyat Malaysia, keperluan untuk dos penggalak menjadi mendesak kerana majoriti populasi kita, terutamanya, mendapat suntikan vaksin Sinovac sebagai vaksinasi utama pada fasa awal.

Statistik tempatan daripada Real-World Evaluation of COVID-19 Vaccines di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (RECoVaM) menunjukkan perlindungan vaksin Sinovac terhadap jangkitan COVID-19 menurun dari 76% dalam dua bulan pertama selepas vaksinasi lengkap kepada cuma 28% dalam bulan ketiga hingga kelima. Kajian antarabangsa membenarkan dapatan ini.

“Pada bulan ketiga, kajian mendapati tahap peneutralan antibodi dalam vaksin Sinovac adalah kurang daripada 50 peratus dan pada bulan keenam, ia hampir tidak dapat dikesan,” tambah Profesor James.

Bagi vaksin Pfizer dan AstraZeneca pula, keberkesanannya mula menunjukkan penurunan pada bulan keenam. Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan suntikan dos penggalak yang secara asasnya membangkitkan semula sistem imuniti badan kita untuk menghasilkan antibodi.

“Suntikan dos penggalak ini bukanlah pengakhiran. Akan ada dos penggalak lain dan seterusnya. Kita tidak tahu banyak mana tetapi yang pasti ini bukanlah yang terakhir,” ujar beliau.

GABUNG DAN PADAN

ISU keselamatan apabila dua jenis vaksin dicampurkan turut menimbulkan keraguan. Pada awal bulan November, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) memberikan kebenaran untuk menggabung padankan vaksin berbeza sebagai dos penggalak. Namun begitu, satu kenyataan oleh Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sourmya Swaminathan pada bulan Julai yang mengatakan masih tiada lagi data bagi kaedah gabung padan vaksin ini, masih lagi berlegar-legar. Untuk makluman, beliau kemudiannya menjelaskan bahawa: “Individu tidak sepatutnya membuat keputusan sendiri, tetapi agensi-agensi kesihatan boleh berdasarkan data sedia ada.

Data yang tersedia kini semakin meningkat. Bukti daripada negaranegara yang sudah pun melancarkan sistem gabung padan vaksin ini menunjukkan hasil yang baik. Kajian di Singapura mendapati penurunan risiko jangkitan sebanyak 72% apabila mencampurkan vaksinasi utama Pfizer dengan dos penggalak Moderna, berbanding 62% sahaja bagi mereka yang mendapatkan suntikan Pfizer untuk suntikan pertama, kedua dan ketiga.

Namun begitu, Profesor James menggalakkan semua orang untuk mendapatkan suntikan dos penggalak tanpa mengira campurannya kerana tidak mengambil dos penggalak adalah lebih berbahaya. “Mengambil apa sahaja dos penggalak adalah lebih baik daripada tidak mengambilnya langsung. Ini bermakna mereka yang mengambil suntikan Sinovac, lambat laun mungkin perlu mendapatkan dos penggalak lebih awal.

Apakah ada orang yang tidak boleh menerima suntikan dos penggalak? Tidak, kata beliau, kerana setiap orang yang dibenarkan mengambil dua dos pertama boleh mengambil dos penggalak.

Bagi mereka yang mempunyai sistem imuniti badan yang berkurangan seperti pesakit HIV/ AIDS, mereka yang menjalani pemindahan organ atau pesakit barah, dos penggalak barangkali menjadi suntikan dos keempat.

“Sesetengah daripada mereka pada mulanya mungkin perlu mendapatkan tiga dos bagi merangsang sistem imuniti badan untuk menghasilkan antibodi. Bagi mereka ini, dos penggalak adalah dos keempat mereka,” terang Profesor James. Sambil menambah, dos penggalak adalah sangat selamat dalam kes-kes sedemikian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas