Berita

Hadi kekal di Fagiano Okayama

KEHEBATAN Hadi (kanan)
- Diterbit 27 Disember 2019 5:18 AM MYT

Oleh MUHAMAD NABEEL
[email protected]

KUALA LUMPUR – Kontrak penyerang tinggi lampai negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak bersama pasukannya Fagiano Okayama disambung untuk tempoh setahun lagi.

Perkhabaran gembira itu sekali gus membuktikan pasukan Fagiano Okayama yang bersaing dalam Divisyen 2, Liga Bola Sepak Profesional Jepun (J League) berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan Hadi Fayyadh.

Menurut Hadi, dia terharu dengan keputusan tersebut dan sentiasa optimis untuk terus bersinar serta membina nama di negara matahari terbit tersebut.

“Persembahan saya musim lalu ada naik dan turun, terutama ketika mengalami kecederaan selama dua bulan selain sedang cuba menyesuaikan diri di sana.

“Namun tiada yang mustahil untuk saya terus bangkit dan mencipta kejayaan. Saya juga sudah tahu apa yang dikehendaki jurulatih dan akan berusaha keras bagi memenuhi jangkaan­nya,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd., Hiroshi Hamada yang membawa Hadi ke Jepun turut menyatakan komitmennya untuk meneruskan penajaan kepada pemain tersebut.

“Dia telah menunjukkan persembahan yang baik dan saya percaya bakatnya boleh digilap lagi untuk terus berkembang di Jepun,” ujarnya.

Terdahulu, penyerang ber­usia 19 tahun ini telah menandatangani kontrak sejak Disember tahun lalu, malah kesungguhan yang ditunjukkan Hadi menarik perhatian pasukan Jepun untuk terus mengekalkan­nya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas