Berita

Skim PZB mudahkan berzakat

MUEZ (dua dari kiri) merasmikan Pelancaran Skim PZB sambil disaksikan Ahmad Shukri di KPDNHEP, Putrajaya baru-baru ini.
MUEZ (dua dari kiri) merasmikan Pelancaran Skim PZB sambil disaksikan Ahmad Shukri di KPDNHEP, Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 23 Ogos 2019 5:17 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto Nazirul Roselan

PUTRAJAYA – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melaksanakan pelbagai penambahbaikan bagi memudahkan masyarakat membayar zakat termasuk menjenamakan semula Skim Tohir kepada Skim Potongan Zakat Bulanan (PZB).

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Ahmad Shukri Yusoff berkata, skim potongan secara bulanan tersebut di­yakini dapat menarik orang ramai terutama kakitangan kerajaan untuk menunai rukun Islam keempat itu.

“Saya berharap ia mampu untuk menarik lebih ramai orang untuk membayar zakat di PPZ-MAIWP dan seterus­nya melengkapkan rukun Islam yang diwajibkan ke atas mereka yang layak.

“Skim ini merupakan saluran bayaran zakat yang paling popular kerana ia lebih sistematik, mudah dan cepat” katanya Program Bicara Zulhijjah 1440H dan Pelancaran Skim PZB di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Muez Abdul Aziz serta pegawai-pegawai kanan dan kakitangan kementerian berkenaan.

Ahmad Shukri berkata, skim potongan bulanan tersebut dapat mengurangkan pembayaran pada hujung tahun.

“Skim ini terbukti memudahkan kerana dibayar secara bulanan dan sekiranya dikumpul berbanding dibuat bayaran sekali gus ia mungkin membabitkan jumlah yang agak besar.

“Skim ini juga menerima potongan serendah RM10 sebulan bagi pembayar yang layak,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, pihak PPZ-MAIWP telah memperkenalkan Skim Kafalah Muzakki pada awal tahun ini bagi menyediakan bantuan manfaat kewangan kepada waris pembayar zakat iaitu sebanyak RM3,000.

“Konsep skim ini adalah seperti khairat kematian yang bertujuan membantu waris pembayar zakat sekiranya berlaku kematian pembayar zakat,” katanya.

Sementara itu, Muez dalam ucapan perasmiannya menyeru warga KPDNHEP menyertai Skim PZB agar setiap kakitangan yang beragama Islam tidak lalai dalam menunaikan rukun Islam tersebut.

“Zakat merupakan satu kewajiban ke atas orang Islam dan dengan pengenalan skim ini, saya amat berharap semua warga kementerian dapat menyertainya.

“Dengan pengenalan skim ini, warga kementerian tidak perlu bersusah payah untuk ke kaunter zakat sebalinya hanya di potong melalui gaji bulanan sama seperti Potongan Cukai Berjadual oleh Lembaga Hasil Dalam negeri (LHDN),’’ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas