Skim Mikro Kredit YWP suntik modal menjelang Ramadan
WAN Azizah (dua dari kanan) beramah mesra dengan wakil pelajar yang mendapat sumbangan Skim Bantuan Awal IPT.

Skim Mikro Kredit YWP suntik modal menjelang Ramadan

MENJELANG sambutan Aidilfitri, pinjaman Skim Mikro Kredit Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dilihat dapat membantu peniaga menambahkan stok sekali gus menyuntik semangat untuk terus berjaya.

Nik Fauzan Azima, 33, berkata pinjaman berjumlah RM5,000 membantu memulihkan perniagaannya yang sebelum ini hampir ditutup ekoran COVID-19.

NIK FAUZAN

“Ketika itu saya terpaksa melelong stok pakaian untuk menampung kehidupan memandangkan semua orang tidak dibenarkan keluar.

“Melalui pinjaman ini, ia melegakan kerana dapat menambah stok pakaian yang akan dijual bagi menghadapi musim perayaan Aidilfitri nanti,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.

Bercerita lanjut, Nik Fauzan berkata perniagaan pakaian wanita yang diusahakan kini memerlukan modal yang agak besar memandangkan ia memerlukan pelbagai jenis, warna dan saiz untuk menarik perhatian pelanggan.

“Melalui bantuan pinjaman modal ini, saya berharap ia dapat memenuhi keperluan pelanggan serta menampung perbelanjaan memandangkan perniagaan ketika ini agak perlahan,” katanya yang berniaga di Kedai GiatMara Pusat Komuniti, Bandar Tun Razak.

Beliau antara sembilan peniaga dan penjaja yang menerima pinjaman modal perniagaan maksimum RM5,000 yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun serta Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Bidin.

Dalam majlis itu, seramai 27 penuntut yang melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/S) secara sepenuh masa turut menerima Skim Bantuan Awal IPT dengan pemberian bantuan kewangan secara one-off (sekali bayar) serta Bantuan Khas YWP berupa wang tunai RM500 kepada seorang penerima, Mariah Shaari yang menanggung seorang anak saudaranya yang merupakan Orang Kurang Upaya pembelajaran.

Bantuan sebanyak RM1,000 diberi untuk pelajar peringkat sarjana muda dalam negara, RM2,000 bagi sarjana muda luar negara dan RM500 bagi diploma dalam negara.

Sementara itu, Zaizalnizam berkata YWP berperanan membantu menaik taraf kehidupan warga Wilayah Persekutuan berpendapatan rendah dan memerlukan, sejak ditubuhkan 37 tahun lepas berdasarkan kluster pendidikan, ekonomi, sosial, agama dan teknologi.

“YWP sudah membantu lebih 400,000 pelajar golongan B40 dan turut membantu 1,140 penerima manfaat pelbagai kategori melibatkan lebih RM310,000 sepanjang 2022,” katanya. – WILAYAHKU

Share This