Berita

400,000 pelajar dibantu YWP sejak ditubuhkan

BANTUAN yang disalurkan adalah untuk membantu menaik taraf kehidupan warga Wilayah Persekutuan yang berpendapatan rendah dan memerlukan.
- Diterbit 25 Januari 2023 3:55 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) yang telah beroperasi sejak 37 tahun lalu telah membantu kira-kira 400,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata bantuan yang disalurkan itu adalah untuk membantu menaik taraf kehidupan warga Wilayah Persekutuan yang berpendapatan rendah dan memerlukan berdasarkan kluster pendidikan, ekonomi, sosial, agama dan teknologi.

“Bantuan pendidikan yang diberikan termasuk Skim Bantuan Pemakanan Sekolah Menengah, Skim Bantuan Khas Persekolahan dan Skim Bantuan Awal Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Sepanjang 2022, YWP telah meluluskan permohonan bantuan kepada 450 pelajar di seluruh Wilayah Persekutuan dan seramai 76 pelajar adalah dari kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

“Selain itu YWP juga membantu 1,140 penerima manfaat pelbagai kategori melibatkan lebih RM310,000 sepanjang 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyampaian Cek Skim Bantuan Awal, Penyerahan Surat Tawaran Skim Mikro Kredit dan Bantuan Khas YWP oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak pada Rabu.

Pada majlis tersebut, Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak turut menyampaikan bantuan kepada 27 penerima Skim Bantuan Awal IPT terdiri daripada 20 pelajar peringkat ijazah sarjana muda serta tujuh pelajar peringkat diploma.

Dalam pada itu, Zaizalnizam berkata sepanjang penubuhan YWP, ia tidak pernah menerima sebarang dana pentadbiran daripada pihak kerajaan, sebaliknya melalui hasil perniagaan beberapa anak syarikatnya serta sumbangan korporat.

“Kira-kira 80 peratus dana yang dikumpul dan diterima sudah ditetapkan sebagai agihan wajib kepada golongan yang memerlukan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka manakala baki 20 peratus adalah untuk perbelanjaan pengurusan,” katanya.

Sementara itu Wan Azizah menyeru penerima sumbangan serta orang ramai agar menyokong usaha YWP dalam memberikan bantuan kepada golongan memerlukan di Wilayah Persekutuan meskipun tiada sebarang dana kerajaan disalurkan.

“Kita mendoakan YWP agar terus dapat menjalankan operasinya melalui perniagaan yang memberikan keuntungan agar kita sama-sama mendapat manfaat dan berbakti untuk warga Wilayah Persekutuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas