Berita

Bank pusat Pakistan naikkan kadar faedah untuk kawal inflasi

- Diterbit 23 Januari 2023 3:46 PM MYT

BANK pusat Pakistan pada Isnin menaikkan kadar faedah sebanyak 100 mata asas (satu peratus) kepada 17 peratus untuk mengawal inflasi.

Menurut Bank Negara Pakistan (SBP) jawatankuasa dasar monetari (MPC) merasakan adalah penting untuk menambat jangkaan inflasi dan mencapai objektif kestabilan harga bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Inflasi teras yang tidak termasuk harga makanan segar dan tenaga telah berada dalam aliran meningkat sejak 10 bulan lalu, memetik kenyataan bank itu.

“Jawatankuasa itu menyatakan bahawa tekanan inflasi berterusan dan terus meningkat. Jika ini tidak dikawal ia boleh memberi kesan kepada jangkaan inflasi yang lebih tinggi dalam tempoh lebih lama daripada jangkaan,” menurut SBP.

Kali terakhir bank pusat itu menaikkan kadar faedahnya sebanyak satu peratus kepada 16 peratus pada November lalu.

Inflasi Pakistan meningkat kepada 24.5 peratus pada Disember berbanding 23.8 peratus pada November.

“Peningkatan dalam inflasi makanan kekal sebagai penyumbang utama kepada kenaikan inflasi,” menurut bank pusat itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas