Selebriti

Siti Sarah meninggal dunia

- Diterbit 8 Ogos 2021 10:03 PM MYT

PENYANYI Siti Sarah Raissuddin,36, disahkan meninggal dunia pada pukul 5.13 pagi ini di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) setelah bertarung nyawa sejak Rabu lalu apabila diserang wabak COVID-19.

Berita ini disahkan oleh pihak pengurusan Siti Sarah, Indigital Music melalui sebuah kenyataan kepada rakan-rakan media sebentar tadi.

“Dengan berat hati dan berdukacita, kami ingin memaklumkan bahawasanya Siti Sarah Raissuddin telah meninggal dunia pukul 5.13 pagi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

“Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus memberikan doa serta sokongan kepadanya sejak dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lalu,” katanya.

Suaminya Shuib juga meluahkan rasa hiba menerusi instagramnya.

“5.13 minit pagi 9 Ogos 2021, bidadari syurga saya pergi buat selamanya. Mohon sedekahkan Al Fatihah,” tulisnya.

Terdahulu, Siti Sarah dikejarkan ke hospital itu pada Rabu lalu selepas dijangkiti COVID-19.

Berikutan Siti Sarah sedang hamil tujuh bulan, doktor telah mengeluarkan bayi dalam kandungannya sekitar pukul 5 petang Jumaat, baru-baru ini.

Anak keempat pasangan artis itu diberi nama Ayash Affan kini berada dalam keadaan stabil.

Sama-sama kita doakan Allahyarham Siti Sarah ditempatkan dalam golongan orang yang beriman. Amin.. Al Fatihah – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas