Selebriti

Kata-kata semangat Perdana Menteri buat Shuib atas pemergian Siti Sarah

- Diterbit 9 Ogos 2021 9:02 AM MYT

PEMERGIAN penyanyi terkenal Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia akibat COVID-19 turut dirasai oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi instagramnya, Muhyiddin mengucapkan takziah kepada suami Allahyarham Siti Sarah iaitu Shuib Sepahtu dan seluruh ahli keluarga.

“Takziah saya ucapkan kepada Encik Shahmira Muhamad atau Shuib Sepahtu atas pemergian isteri tersayang, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, yang meninggal dunia akibat COVID-19 awal pagi ini.

“Khabar duka kehilangan anak seni yang cukup berbakat ini meninggalkan suami, empat anak termasuk seorang bayi dalam keadaan Allahyarham bertarung nyawa di hospital, amat memilukan.

“Bukan sahaja ahli keluarga dan para peminatnya, bahkan seluruh rakyat Malaysia termasuk saya turut bersedih.

“Semoga ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham tabah menghadapi detik-detik yang mendukacitakan ini.

“Marilah kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solehah,” tulisnya.

Muhyiddin juga mendoakan agar seluruh rakyat sentiasa dilindungi Allah setiap masa.

“Semoga Allah SWT terus melindungi dan memberi kekuatan kepada kita semua untuk berjuang memerangi pandemik ini. Insya-Allah.

“Ya Allah, ampunilah, rahmatilah dan redailah mereka yang telah terkorban akibat virus berbahaya ini. Moga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan moga keluarga yang ditinggalkan terus kuat mengharungi hari-hari mendatang. Al-Fatihah,” ujarnya lagi.

Jenazah penyanyi, Siti Sarah Raissuddin, 36, selamat dikebumikan selepas Zohor di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak, kira-kira pukul 1.30 petang hari ini.

Sama-sama kita doakan agar Allahyarham Siti Sarah ditempatkan dalam golongan orang yang beriman. Amin.. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas